Sikap 'tunggu dan lihat' punca pendaftaran Tahun 1 usia 6 tahun rendah
Sikap 'tunggu dan lihat' punca pendaftaran rendah Tahun 1

PETALING JAYA: Ramai ibu bapa mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sebelum mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun 1, menyebabkan kadar pendaftaran bagi sesi 2027 jauh lebih rendah daripada unjuran.

Kadar pendaftaran rendah, ibu bapa ragu kesiapsiagaan sekolah

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, berkata keadaan itu berlaku kerana ibu bapa masih ragu terhadap kesiapsiagaan sekolah, terutama dari segi bilik darjah, jumlah murid dalam kelas dan kecukupan guru. Beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu memandangkan ini kali pertama Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan kemasukan ke Tahun 1 pada usia enam tahun.

Katanya, ramai ibu bapa mempunyai pelbagai persoalan mengenai kesediaan sekolah menerima pertambahan murid, selain mahu memastikan suasana pembelajaran anak mereka tidak terjejas. “Antara perkara dibimbangkan ialah sama ada bilik darjah baharu, termasuk yang menggunakan kabin atau masih dalam pembinaan, benar-benar siap dan selesa digunakan. “Mereka juga tertanya-tanya sama ada pertambahan murid akan menyebabkan jumlah pelajar dalam setiap kelas meningkat sehingga menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata, sebahagian ibu bapa juga berpendapat anak belum bersedia memasuki Tahun 1, terutama mereka yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah, khususnya di kawasan luar bandar. “Kerajaan perlu membuat persiapan lebih awal dan memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa semua aspek telah dirancang dengan teliti supaya anak-anak tidak terkesan akibat pelaksanaan dasar ini,” katanya.

KPM kurangkan ambil guru kontrak berikutan pendaftaran rendah

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, pada sidang Dewan Rakyat Rabu lalu mendedahkan pendaftaran murid enam tahun bagi sesi Tahun 1 2027 hanya mencatat 73,386 permohonan, berbanding unjuran asal 400,000 orang. Beliau berkata, kementerian terpaksa mengecilkan strategi pengambilan guru dengan hanya menyasarkan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) tahun depan, berbanding unjuran asal keperluan sehingga 20,000 guru.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, berkata isu berkenaan turut berkait dengan tahap keyakinan ibu bapa terhadap perubahan dalam sistem pendidikan negara. Beliau berkata, ibu bapa moden cenderung meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan, termasuk kesediaan anak, kecukupan guru dan kemudahan sekolah.

“Ramai ibu bapa masih khuatir sama ada KPM benar-benar bersedia dari segi tenaga pengajar dan prasarana untuk melaksanakan persekolahan pada usia enam tahun. “Banyak negara sudah lama melaksanakan persekolahan pada usia enam tahun. Jika kita terus ragu-ragu, anak-anak ini akan ketinggalan setahun berbanding rakan sebaya mereka pada masa depan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga