Elaun Tingkatan 6 disamakan dengan matrikulasi dalam kajian kerajaan
Elaun Tingkatan 6 disamakan dengan matrikulasi

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang meneliti untuk memberikan elaun kepada pelajar Tingkatan 6, sama seperti yang dinikmati pelajar program matrikulasi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan 6 dan matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Keputusan dasar telah dibuat

“Elaun Tingkatan 6 dengan matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti, sebab keputusan dasar telah dibuat cuma hanya kaedah pelaksanaan,” kata beliau ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Anwar berkata demikian ketika ditanya soalan oleh seorang pelajar Tingkatan 6 berkaitan mengapa mereka tidak mendapat elaun seperti pelajar program matrikulasi sedangkan kedua-duanya berada pada tahap pendidikan prauniversiti di bawah KPT.

Ketika ini pelajar matrikulasi mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BSHP) berjumlah RM250 sebulan.

Pelajar Tingkatan 6 di bawah KPT

Anwar berkata pelajar Tingkatan 6 harus diletakkan di bawah KPT kerana sebahagian daripada kategori pasca persekolahan. Sehubungan itu, beliau berkata kemudahan termasuk pemberian biasiswa untuk pelajar prauniversiti seperti Tingkatan 6 atau matrikulasi harus disampaikan kepada pelajar.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan 6 dan matrikulasi bermula tahun ini, sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok itu secara rasmi pelajar pendidikan tinggi.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga