Pemandu treler nahas 4 maut di Karak positif dadah
Pemandu treler nahas 4 maut positif dadah

PETALING JAYA: Pemandu treler yang terbabas menghempap kereta hingga meragut nyawa empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Karak, Bentong, semalam, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata hasil saringan ujian air kencing pemandu berusia 40 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine sebelum ditahan awal pagi tadi.

Katanya, lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk ujian saringan air kencing sebaik selesai menerima rawatan di hospital.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Penahanan ke atas pemandu terbabit dilakukan kira-kira pukul 4 pagi sebelum dibawa ke Mahkamah Raub untuk permohonan reman,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

Semalam, polis mengesahkan pemandu terbabit mempunyai 15 rekod saman trafik.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap treler terbabit.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, dipetik berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang membawa muatan habuk kayu itu hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas dan menghempap kereta mangsa.

Katanya, ketika kejadian treler terbabit dalam perjalanan menghantar muatan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga