KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan keluarga Malaysia, sekotak susu adalah keperluan harian. Namun bagi yang lain, ia boleh menjadi kemewahan. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, keluarga berpendapatan rendah sukar memastikan anak-anak mendapat nutrisi seimbang setiap hari. Sebuah inisiatif baharu berusaha mengubah keadaan ini.
Atlas Nutri-Aid: Teknologi vending untuk nutrisi murid
Dilancarkan sempena Hari Susu Sedunia, Atlas Nutri-Aid menggabungkan teknologi mesin vending pintar dengan susu Goodday Charge percuma untuk menyediakan akses nutrisi harian kepada murid sekolah rendah kurang mampu. Program ini dibangunkan oleh Atlas Vending, cabang perniagaan vending Etika Sdn Bhd, dan dilancarkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor serta Yayasan Raja Muda Selangor.
Inisiatif ini susulan program perintis yang berjaya dan akan menyaksikan 10 mesin vending Atlas Nutri-Aid dipasang di sekolah-sekolah terpilih.
Setiap anak berhak mendapat nutrisi harian
Ketua Pegawai Eksekutif Etika & International Exports, Hemalatha Ragavan, menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat nutrisi yang mencukupi. “Bagi kebanyakan keluarga, menyediakan nutrisi harian bukanlah satu jaminan, dan ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkembangan kanak-kanak,” katanya.
“Dengan Atlas Nutri-Aid, kami memastikan setiap murid mendapat akses kepada sesuatu yang asas seperti susu setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan teknologi dan tujuan, kami dapat menyampaikan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan memberi impak.”
Kebimbangan kekurangan nutrisi kanak-kanak di Malaysia
Program ini hadir ketika kebimbangan terhadap pemakanan kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat. Kajian menunjukkan ramai kanak-kanak masih tidak mencapai pengambilan kalsium dan vitamin D harian yang disarankan, manakala masalah kekerdilan kanak-kanak (stunting) kekal sebagai isu kesihatan awam yang signifikan.
Berbeza dengan kaedag pengagihan makanan tradisional, Atlas Nutri-Aid menggunakan sistem kad pintar 'tap-and-go' yang dipautkan dengan kalendar persekolahan. Sistem ini membolehkan murid yang layak menebus sekotak susu pada hari persekolahan. Teknologi ini juga memberi pemantauan lebih baik kepada penganjur dengan mengesan penggunaan serta mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.
Yayasan Raja Muda Selangor: Lebih daripada sekadar minuman
Bagi Yayasan Raja Muda Selangor, inisiatif ini lebih daripada sekadar menyediakan minuman harian. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Syazwan Daut, berkata, “Misi kami sentiasa memupuk potensi generasi muda. Pemakanan yang betul adalah asas keupayaan kanak-kanak untuk belajar, fokus dan berkembang di sekolah.”
Yayasan ini memainkan peranan penting dalam mengenal pasti murid yang layak dan menyelaraskan sokongan dalam komuniti setempat bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan. “Melalui Atlas Nutri-Aid, kami bukan sekadar menyediakan zat harian – kami menghapuskan halangan kritikal terhadap pendidikan,” kata Syazwan.



