Pelajar IPT ditahan, polis rampas ganja RM1.17 juta di Kedah
Pelajar IPT ditahan, polis rampas ganja RM1.17 juta

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas dadah jenis bunga ganja seberat 14.63 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.17 juta dalam satu pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Isnin lepas.

Penahanan Suspek Pelajar IPTS

Timbalan Ketua Polis Kedah, Baderulhisham Baharudin, berkata dalam pemeriksaan itu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pelajar di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda milik keluarga suspek telah menjumpai 13 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja yang disorokkan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM1.17 juta. Dadah itu dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 73,150 penagih dan berpotensi merosakkan kehidupan ratusan ribu masyarakat sekiranya berjaya dipasarkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Peranan Suspek sebagai Penghantar Dadah

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar bagi sindiket penyeludupan dadah yang membawa masuk bekalan dari negara jiran sebelum dihantar untuk pasaran Kuala Lumpur dan Johor.

“Modus operandi adalah dengan mendapatkan bekalan dadah di sekitar Danok, Thailand sebelum menyembunyikannya di bahagian tempat duduk belakang kenderaan dan membawa masuk ke Malaysia melalui Kompleks ICQS.

“Suspek mendakwa mula terlibat dalam aktiviti itu pada 25 Mei lepas dan mengaku telah berjaya membawa masuk bekalan dadah sebanyak empat kali sebelum ini untuk dihantar ke lokasi yang diarahkan oleh sindiket dengan menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Siasatan dan Tindakan Undang-Undang

Baderulhisham berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket, termasuk sumber bekalan, rangkaian pengedaran dan individu lain yang terlibat.

“Suspek yang juga positif dadah jenis ganja itu direman enam hari hingga Ahad depan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Polis Kedah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan khususnya di pintu-pintu masuk negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah. Kerjasama orang ramai amatlah dihargai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di 012-2087222.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga