KUANTAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan di sekitar Pekan hari ini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual dan memalsukan sijil cuti sakit. Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin berkata semua suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang tadi selepas pihaknya menjalankan siasatan susulan laporan yang dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) pada 10 Jun.
Modus Operandi Sindiket
Beliau berkata suspek yang ditahan bekerja sebagai mekanik, pemilik bengkel dan tukang cuci, dengan semua mereka dipercayai bertindak sebagai orang tengah. Katanya, PKD menerima maklumat daripada seorang individu yang mendakwa telah membeli sijil cuti sakit daripada seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi mendapatkan dokumen itu daripada sebuah klinik kerajaan dengan bayaran tertentu.
“Hasil siasatan awal mendapati sijil cuti sakit itu dipercayai dijual pada harga antara RM50 dan RM200 bagi setiap satu. Siasatan lanjut mendapati, pegawai perubatan yang namanya tertera pada sijil cuti sakit berkenaan juga mengesahkan bahawa beliau telah bertukar tempat bertugas sejak 2023 dan cop yang digunakan merupakan cop lama miliknya serta tidak digunakan lagi,” katanya dalam kenyataan.
Kegiatan Terancang
Zaidi memaklumkan siasatan lanjut mendapati kegiatan ini dipercayai dijalankan secara terancang dengan melibatkan individu yang bertindak sebagai orang tengah bagi mencari pelanggan dan mengurus penjualan sijil cuti sakit. Selain itu, polis kini sedang mengesan suspek utama yang dipercayai seorang penjawat awam wanita yang bertugas di sebuah klinik dan berperanan sebagai pembekal sijil cuti sakit tidak sah.
Katanya, semua suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan esok bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



