Pahang hadapi kekurangan doktor, 850 bertugas di seluruh negeri
Pahang hadapi kekurangan doktor, 850 bertugas di seluruh negeri

KUANTAN, 10 Jun — Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan bahawa kekurangan pegawai perubatan di beberapa fasiliti kesihatan di negeri ini berpunca daripada faktor seperti perpindahan doktor yang menjalani latihan kepakaran.

Punca kekurangan doktor

Pertukaran pegawai keluar negeri selepas pelantikan tetap di fasiliti lain, serta peletakan jawatan, turut menyumbang kepada kekurangan tersebut. JKNP, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan jumlah pegawai perubatan di fasiliti kesihatan di bawah jabatan itu adalah sebanyak 850 orang setakat 1 Jun lalu.

“JKNP mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai kekurangan pegawai perubatan di beberapa hospital di Pahang. Oleh itu, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai berjalan lancar, jabatan telah melaksanakan langkah segera termasuk mengoptimumkan sumber manusia sedia ada,” kata kenyataan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Langkah dilaksanakan

Antara langkah yang diambil ialah memobilisasikan pegawai perubatan dari klinik kesihatan awam dan hospital lain melalui inisiatif hospital kluster, serta menyusun semula penempatan doktor berdasarkan keperluan perkhidmatan dan beban kerja. JKNP sentiasa berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti melalui pemantauan berterusan dan kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan.

“Ini memastikan keperluan sumber manusia kesihatan ditangani secara progresif dan menyeluruh. JKNP komited untuk memastikan kebajikan anggota kesihatan terus diberi perhatian, sambil menjamin perkhidmatan kesihatan kepada rakyat sentiasa disampaikan dengan kualiti, keselamatan, cekap dan berkesan,” tambah kenyataan itu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga