Kementerian Kesihatan sasar pemajuan agenda pemindahan organ 2026
KKM sasar pemajuan agenda pemindahan organ 2026

Kementerian Kesihatan sasar pemajuan agenda pemindahan organ 2026

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan sasaran untuk memajukan agenda pemindahan organ secara lebih progresif sebagai misi nasional bagi tahun 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata walaupun ratusan ribu rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai penderma organ melalui aplikasi MySejahtera, ribuan pesakit kronik masih menunggu keajaiban dalam senarai menunggu pemindahan.

“Ikrar digital yang kita buat adalah janji suci, tetapi ia memerlukan perbincangan yang tulus dengan ahli keluarga terdekat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sokongan dan persetujuan ahli keluarga adalah faktor utama dalam memastikan hasrat mulia penderma dihormati demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan pemindahan hati seorang kanak-kanak, Muhammad Raif Rabbani, di Hospital Tunku Azizah selepas melawan penyakit biliary atresia sejak bayi.

“Setelah berani melawan biliary atresia sejak bayi, kini dia telah dibenarkan pulang ke rumah. Semoga Raif kecil diberkati dengan kesihatan yang baik dan suatu hari nanti dapat menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pakar dan petugas kesihatan di Hospital Tunku Azizah atas kejayaan prosedur tersebut. Beliau juga memberi penghormatan kepada penderma organ dan keluarga penderma kerana memilih untuk memberi harapan baru kepada pesakit lain melalui derma organ.

Beliau berkata, kementerian tetap komited untuk memastikan landskap perubatan negara terus dipandu oleh nilai-nilai ihsan dan keadilan dalam membina Malaysia Madani yang makmur. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga