Piu Piu: Dadah Sintetik Baru dalam Vape, Timbalan IGP Gesa Larangan Total
Piu Piu dalam Vape: Timbalan IGP Gesa Larangan Total

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai 'Piu Piu' yang dikesan dicampur dalam cecair rokok elektronik membuktikan bahawa peranti tersebut perlu diharamkan sepenuhnya di negara ini.

Kesan Dadah Piu Piu

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah yang merupakan campuran fentanyl dan bahan kimia psikoaktif ini boleh menyebabkan kesan mabuk yang teruk, menjadikan pengguna seperti dalam keadaan zombi.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang penggunaan vape telah menyimpang daripada tujuan asalnya dan disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pemerdagangan dadah sebagai taktik untuk mengelak pengesanan pihak berkuasa.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pandangan PDRM

“Isu utama sekarang bukan sama ada vape memberi peluang perniagaan kepada kumpulan tertentu, tetapi peranti ini disalahgunakan dengan mencampurkan dadah baharu atau Bahan Psikoaktif Baharu (NPS).

“Vape kini menjadi kebanggaan dalam kalangan remaja, jadi kita perlu membendung masalah ini pada peringkat awal. Banyak negara sudah mengharamkannya, dan Malaysia juga mesti mempunyai kemahuan politik untuk membasminya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada awal sesi, Ayob Khan merasmikan program lawatan hospital sempena sambutan Hari Polis ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), di sini.

Tindakan Polis

Menjelaskan lanjut, beliau berkata polis tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengharamkan secara langsung penggunaan peranti tersebut kerana perkara itu juga berada di bawah bidang kuasa kementerian lain, termasuk Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM akan terus menjalankan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk di premis runcit vape, bagi membendung penularan dadah terkini. – Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga