Warga Jordan dan dua wanita ditahan cuba seludup bunga ganja RM480,000
Warga Jordan, 2 wanita ditahan seludup bunga ganja RM480,000

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Jordan dan dua wanita tempatan ditahan ketika cuba menyeludup bunga ganja bernilai RM480,000 melalui pangkalan haram di Kampung Simpangan, Tumpat, semalam. Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 4.30 petang Jumaat hasil rondaan bermotosikal dan risikan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu di pangkalan haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan.

Menurutnya, sebuah Mercedes Benz S500L dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi Sungai Golok, dengan seorang suspek didapati mengambil satu bungkusan plastik lutsinar di tepi sungai sebelum meletakkannya dalam bonet depan kereta. “Suspek kemudian bersama seorang lagi individu kembali ke tepi sungai untuk mengambil beberapa lagi bungkusan plastik sebelum dimasukkan dalam bonet belakang kenderaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Jelasnya, anggota PGA kemudian menahan ketiga-tiga suspek dan hasil pemeriksaan lanjut menemui lima bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan daun kering yang disyaki bunga ganja seberat enam kilogram. “Sebanyak 1.3 kilogram bunga ganja ditemui di bahagian depan kiri kenderaan, manakala baki 4.7 kilogram lagi dijumpai di bonet belakang. Nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM480,000,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata, semua suspek mengaku dadah itu dalam kawalan mereka dan ini kali pertama mereka mengambil bekalan di pangkalan haram terbabit. Seorang suspek wanita berusia 35 tahun dipercayai menjadi orang tengah yang menghubungkan pengedar dari Golok dikenali sebagai “Abe”, bersama dua lagi suspek membawa bekalan dadah ke Kuala Lumpur. Dadah itu dipercayai akan diserahkan kepada seorang lelaki dikenali “Lee” di ibu negara dan setiap suspek dijanjikan bayaran RM300 bagi setiap kilogram bunga ganja yang berjaya dihantar.

Turut dirampas sebuah Mercedes Benz S500L bernilai RM150,000 dan beberapa barangan lain yang keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM630,100. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga