KUALA LUMPUR: Vape wajar diharamkan sepenuhnya susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan peranti itu untuk pengambilan dadah sintetik baharu dikenali sebagai 'piu piu'. Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata isu utama ketika ini bukan lagi berkaitan potensi perniagaan vape, sebaliknya penyalahgunaan peranti yang semakin membimbangkan.
“Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau new psychoactive substances (NPS). Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal. Banyak negara luar telah pun mengharamkannya. Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan sempena peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.
Pada 9 Jun lalu, Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia mendedahkan rokok elektronik atau vape semakin kerap disalahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan serta kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Sebelum ini, kerajaan turut digesa jangan berlengah dan segera membentangkan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape walaupun Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenainya dijangka dibentang awal tahun ini. Perunding kesihatan awam, Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kelewatan membuat keputusan hanya akan memburukkan keadaan, justeru beliau menyeru Kabinet memberikan perhatian serius dan meluluskan pengharaman vape sepenuhnya sebelum ia menjadi barah yang tidak terkawal.
Sementara itu, Ayob berkata polis bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengharamkan vape kerana perkara itu turut melibatkan bidang kuasa kementerian dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan. Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan meneruskan pemantauan dan operasi terhadap premis menjual vape bagi mengekang penularan dadah sintetik tersebut.
“JSJN akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk ke atas premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah terbaharu berkenaan,” katanya.
Pada 19 Mei lalu, JSJN menahan enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal secara keterlaluan.



