Usaha memperkasa dan mengantarabangsakan bahasa Melayu perlu diteruskan sebagai sebahagian agenda penyatuan khususnya kaum tersebut di negara ini, kata bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Inisiatif sejak lima tahun lalu
Beliau berkata, inisiatif itu sudah dimulakan sejak lima tahun lalu ketika masih memegang jawatan perdana menteri menerusi penganjuran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM).
“Ini adalah untuk penyatuan kaum Melayu di negara kita. Saya usahakan untuk menyatukan pemikiran bukan sahaja orang Malaysia tetapi seluruh dunia tentang bahasa Melayu,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran SAABM kali ke-5 dan Malam Puisi Mengukir Bangsa (MPMB) di Menara Aras Raya.
Ismail yang juga penaung kehormat Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) berkata, penganjuran awal simposium itu mendapat sokongan penuh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Namun, katanya, walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan, usaha itu tetap diteruskan kerana kepentingannya dalam memperkenalkan bahasa Melayu ke peringkat dunia.
“Bila tidak dalam kerajaan, saya kira simposium ini penting. Walaupun tidak bersama Dewan Bahasa, kita tetap teruskan hingga tahun kelima.
“Tujuannya ialah untuk mengenalkan bahasa Melayu di peringkat dunia. Sebab itu, tajuk temanya ialah antarabangsakan bahasa Melayu,” katanya.
SAABM kali ke-5
SAABM kali ke-5 dijadual berlangsung pada 10 Okt ini di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dengan tema ‘Peradaban Melayu Mewajah Dunia’. Ia dianjurkan bersama Ikhtisas Kepimpinan Kamaralzaman dan Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Ismail, Thai Global Business Administration Technological College (TGBC).
Dalam majlis sama, sebuah buku bertajuk ‘Bahasa dan Peradaban Membina Bangsa’ turut dilancarkan. Buku itu menghimpunkan pelbagai bahan termasuk kertas pembentangan, artikel dan pandangan dibentangkan dalam SAABM kedua pada 2023 serta ketiga pada 2024.
Buku itu juga akan mula dipasarkan untuk jualan dalam masa terdekat dan PABMM berharap ia menjadi rujukan kepada pembuat dasar, ahli akademik, pelajar dan masyarakat umum.
Sementara itu, Pengerusi PABMM, Kamarazaman Yacob, berkata tema Peradaban Melayu Mewajah Dunia bertepatan objektif PABMM iaitu memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan di peringkat antarabangsa.
“Simposium selama satu hari ini akan turut diserikan dengan Malam Puisi Mengukir Bangsa. Puisi memainkan peranan penting sebagai wadah pembinaan identiti dan jati diri. Ia menjadi medium untuk menyuarakan semangat perjuangan, kemanusiaan dan aspirasi rakyat,” katanya.



