Subsidi bahan api bantu kawal inflasi, lindungi rakyat – Fomca
Subsidi bahan api bantu kawal inflasi, lindungi rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Komitmen kerajaan untuk terus menanggung kos subsidi bahan api dilihat membantu rakyat dan mengawal tekanan inflasi, di samping menjadi perisai utama negara terhadap kesan krisis bekalan global.

Fomca sambut baik inisiatif kerajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr Saravanan Thambirajah, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan kerana ia memberi keyakinan kepada pengguna bahawa kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan.

Beliau berkata mengekalkan harga bahan api pada tahap semasa banyak membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan dan logistik, di samping menyokong rantaian bekalan bagi mengelakkan kenaikan harga barangan keperluan harian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bagaimanapun, Fomca berpendapat bahawa harga bahan api bukan satu-satunya faktor yang menentukan harga barangan.

“Pengguna masih berdepan cabaran daripada kos makanan, kadar sewa, kos tenaga, gaji dan pelbagai kos operasi lain yang turut mempengaruhi harga pasaran. Namun, mengekalkan harga RON95 boleh bertindak sebagai penampan terhadap inflasi,” katanya kepada Bernama.

Pandangan ahli akademik

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Shukor Harun, memandang komitmen kerajaan sebagai langkah bertanggungjawab, terutamanya dalam meringankan beban kewangan kumpulan B40 dan M40.

“Namun, dari perspektif dasar awam, mekanisme subsidi menyeluruh yang sedia ada adalah regresif kerana ia juga memberi manfaat kepada golongan kaya.

“Jika subsidi ini dikekalkan ketika harga minyak mentah global melonjak, defisit fiskal negara akan melebar dan perbelanjaan akan menggunakan dana yang sepatutnya disalurkan kepada sektor pembangunan, pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan strategi jangka panjang yang lebih mampan untuk memastikan bantuan berterusan kepada rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi global, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar secara progresif.

Pengalaman penunggang p-hailing

Bagi penunggang penghantaran makanan, Umair Al-Anshaari Rusli, 24, langkah kerajaan mengekalkan subsidi amat membantu kerana dia bergantung sepenuhnya pada kenderaan untuk mendapatkan pendapatan harian.

“Subsidi bahan api ini penting kerana ia dapat membantu mengawal kenaikan harga barangan dan kos pengangkutan, memandangkan kami sangat bergantung pada motosikal atau kereta untuk mencari rezeki,” katanya.

Kenyataan Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau tidak bersetuju menaikkan harga bahan api ketika negara berdepan krisis bekalan global, dan menegaskan kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan memperuntukkan perbelanjaan bulanan yang besar bagi mengelakkan rakyat terbeban. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga