KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas dadah jenis kokain dan ganja bernilai lebih RM2.9 juta dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Tawau pada 21 Mei lepas.
Serbuan di premis kurier
Pengarah Kastam Sabah, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata dalam operasi pada jam 11.45 pagi itu, pasukan penguat kuasa JKDM menyerbu sebuah premis perkhidmatan kurier dan berjaya mengesan dua kotak mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan bahan yang disyaki dadah berbahaya jenis kokain dan ganja. Pemeriksaan terhadap kotak pertama menemukan 10 plastik disyaki dadah jenis kokain yang dianggarkan seberat 4.6 kilogram dengan nilai rampasan lebih RM2 juta,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah di sini hari ini.
“Manakala pemeriksaan ke atas kotak kedua menemukan 10 bungkusan aluminium foil yang mengandungi bunga kering mampat, dipercayai ganja seberat 10.65 kilogram bernilai RM851,712.80,” tambah beliau.
Modus operandi
Taufik berkata modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan mengirim bahan terlarang disyaki dadah menggunakan perkhidmatan kurier, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup,” katanya.
Kes penyeludupan lain
Sementara itu, beliau berkata JKDM Sabah turut berjaya mematahkan lima kes penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM1 juta. “Semua rampasan dilaksanakan di sekitar daerah Keningau, Sook, Kuala Penyu, Tawau serta Pelabuhan Sepanggar.
JKDM turut merampas sebuah kereta Honda Jazz bernilai lebih RM60,000 selepas disyaki tidak berkastam di kawasan Kampung Tinagat, Tawau. “Semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(d) akta yang sama,” katanya.



