Dua Pasangan Suami Isteri Ditahan Atas Kes Penderaan Pembantu Rumah
ISKANDAR PUTERI, 14 Jun — Dua pasangan suami isteri ditahan semalam bagi membantu siasatan selepas satu video menunjukkan pembantu rumah didera di Taman Johor berhampiran Tampoi tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pasangan itu, yang berusia antara 30 dan 34 tahun, ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan pada kira-kira jam 7.30 malam oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
Beliau berkata siasatan awal mendedahkan bahawa pasangan itu tinggal di rumah yang sama dan suspek wanita adalah adik-beradik.
Menurutnya, penderaan itu dipercayai melibatkan tiga pembantu rumah dan disyaki berlaku pada 26 Julai tahun lalu.
“Video itu dirakam oleh salah seorang mangsa tetapi hanya tular di media sosial semalam. Namun, motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri hari ini.
Beliau berkata tiga pembantu rumah itu, yang dipercayai berusia 20-an, disyaki telah melarikan diri dan dipercayai masih berada di dalam negara.
Sementara itu, Ab Rahaman berkata polis telah merampas telefon bimbit, pakaian milik suspek, kamera litar tertutup (CCTV) dan pasport dua pembantu rumah itu.
Beliau berkata kesemua empat suspek didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah terdahulu. Mereka direman selama empat hari bermula hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana serangan atau kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.
Beberapa klip video tular di media sosial semalam, menunjukkan sekumpulan individu mendera seorang pembantu rumah wanita yang duduk di atas sofa di dalam sebuah rumah. — Bernama



