Penyanyi-pelakon Hong Kong, Charlene Choi, mengejutkan peminat di seluruh Asia selepas mendedahkan bahawa dia telah berkahwin dengan kekasihnya, jurulatih kecergasan Elvis Lam.
Pengumuman itu dibuat melalui Instagram semalam, di mana bintang berusia 43 tahun itu berkongsi beberapa gambar perkahwinan intim, termasuk detik pertukaran cincin.
“Tahniah kepada saya kerana berkahwin dengan awak. Tahniah kepada awak kerana berkahwin dengan saya. Jaga saya pada masa hadapan. Terima kasih kepada semua atas ucapan,” tulis Choi dalam kapsyen.
Dikenali dengan panggilan mesra Ah Sa, Choi terkenal sebagai sebahagian daripada duo Cantopop Twins. Pengumuman mengejut ini menjadi bualan hangat dalam talian, terutamanya kerana pasangan itu agak merahsiakan hubungan mereka.
Choi hanya mengesahkan hubungan cintanya dengan Lam awal tahun ini. Media Hong Kong sebelum ini melaporkan bahawa mereka telah bercinta secara senyap selama beberapa bulan sebelum tampil ke khalayak, dengan hubungan mereka dikatakan berkembang jauh dari tumpuan umum.
Tiada butiran mengenai majlis perkahwinan atau tarikh rasmi pernikahan didedahkan setakat ini.
Walaupun begitu, hantaran tersebut menerima banjir ucapan tahniah daripada peminat dan selebriti lain, termasuk Fish Liew, Jessica Tsoi, Louis Cheung dan Gigi Lai.
Sebelum berkahwin dengan Lam, Choi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon-penyanyi Hong Kong, Ronald Cheng, dari 2006 hingga 2010.
Lam difahamkan seorang jurulatih kecergasan terkenal di Hong Kong, dengan laporan mengatakan beliau pernah melatih selebriti seperti penyanyi Kenny Kwan.



