Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menegaskan kerajaan tidak akan mengurangkan sebarang subsidi sedia ada kepada rakyat walaupun dijangka menanggung hampir RM40 bilion subsidi produk petroleum tahun ini akibat konflik di Asia Barat.
Kerajaan kekalkan bantuan sedia ada
Beliau berkata pendirian semasa kerajaan adalah untuk meneruskan pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Liew berkata pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) sejak September tahun lalu telah berjaya melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia ketika krisis Asia Barat memuncak pada Mac dan April.
Harga minyak kekal rendah untuk rakyat
“Dengan harga yang ditetapkan dan kuota yang diberikan, rakyat tidak terjejas dan tidak dipengaruhi oleh apa yang berlaku di Asia Barat.
“Rakyat membayar RM1.99 (seliter) walaupun pada Mac dan April harga sebenar mencecah RM5. Ini adalah dua sumbangan penting yang telah diperkenalkan melalui Budi95, iaitu harga tetap semasa krisis dan kerajaan telah memastikan rakyat mempunyai bekalan minyak,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan kepada soalan tambahan
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan bercadang mengurangkan subsidi lain termasuk makanan dan bantuan STR, Sara atau bantuan sekolah berikutan unjuran subsidi besar ke atas produk petroleum tahun ini.
Liew berkata kerajaan telah memastikan kestabilan harga petrol dan bekalan bahan api walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global.
“Ini, saya fikir, adalah keunikan dan juga kelebihan BUDI95. Di Malaysia, kita masih beratur dalam kesesakan lalu lintas kerana kita mempunyai bekalan minyak,” katanya.



