KUALA LUMPUR, 5 Jun — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam berikutan sentimen berhati-hati terhadap kenaikan harga minyak, ketegangan geopolitik yang masih belum selesai dan ketidaktentuan perdagangan global.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0095/0140 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 3.9955/9990.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak yang tinggi dijangka memberikan tekanan ke atas inflasi global memandangkan gencatan senjata antara pasukan AS dan Israel serta tentera Iran masih belum tercapai.
“Justeru, pedagang dan pelabur menjadi lebih gelisah, dengan harga minyak dijangka kekal tinggi.
“Selain itu, dasar perdagangan proteksionis AS masih kekal, menyebabkan kebimbangan lanjut dalam sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.
Pada 2 Jun 2026, Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) menerbitkan penemuannya di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan dakwaan buruh paksa membabitkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia selepas tamat tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 pada 24 Julai 2026.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa tiada penentuan tarif muktamad telah dibuat terhadap Malaysia, kerana cadangan tarif 10 peratus itu masih tertakluk kepada siasatan dan penentuan rasmi USTR.
Ringgit juga didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding pound British kepada 5.3872/3932 daripada 5.3727/3775, merosot berbanding euro kepada 4.6610/6663 daripada 4.6400/6440, dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.5081/5111 daripada 2.5005/5027 pada penutupan semalam.
Mata wang tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang serantau.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1241/1279 daripada 3.1164/1193, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2708/2903 daripada 12.1825/1988, dan lemah berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.52 daripada 6.47/6.48.
Bagaimanapun, ia lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 222.1/222.4 berbanding 222.3/222.7 pada penutupan Rabu. — Bernama



