KUALA LUMPUR, 21 Mei — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan agensinya terus memberi keutamaan kepada kestabilan dan daya saing industri Malaysia yang menghadapi krisis bekalan global semasa dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin, berkata bantuan terkini termasuk inisiatif bantuan menyeluruh oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) yang menawarkan moratorium sehingga enam bulan untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kemudahan pembiayaan berjangka, pusingan dan perdagangan, khususnya sebagai respons kepada konflik AS-Iran.
Beliau menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kemudahan penstabilan PKS bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia, yang menawarkan modal kerja pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun.
Katanya, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) juga tampil membantu pelanggan sedia ada dengan moratorium atau opsyen penyusunan semula sehingga 12 bulan untuk meningkatkan kemampuan bayaran jangka panjang.
“Kami tidak tahu bila perang (Asia Barat) akan berakhir. Kami telah menerima maklum balas industri bahawa caj logistik mereka telah meningkat sekitar 50 peratus, dan secara purata, kos telah meningkat lebih daripada lima peratus. Jadi mereka menghadapi tekanan.
“Kami mengumpulkan semua inisiatif kami dan melakukan apa yang kami mampu untuk membantu mereka melalui masa yang mencabar ini. Beberapa bulan akan datang akan menjadi lebih sukar,” katanya kepada pemberita mengenai program dan insentif Miti untuk krisis tenaga global hari ini.
Sim berkata, Miti dan agensi mempergiat penglibatan dengan pemain industri untuk merangka pelan mitigasi dan mengurangkan kesan krisis bekalan global semasa terhadap perniagaan Malaysia.
Beliau berkata, perbincangan diadakan secara berterusan di peringkat Kabinet dan kementerian untuk memastikan langkah bantuan kekal selaras dengan keperluan industri.
“Jadi yakinlah bahawa kami memahami industri dengan baik. Itulah sebabnya kami mengemukakan cadangan dan pelan untuk membantu mereka. Ia adalah proses yang berterusan kerana perkara bergerak dengan pantas,” katanya.
Sim menambah, Miti telah mengaktifkan rangka kerja penilaian risikonya berikutan krisis terkini dan telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti sektor yang paling terdedah kepada gangguan.
“Bagi kami di Miti, kami mempunyai rangka kerja penilaian risiko. Sebaik sahaja kami dilanda krisis seperti sekarang, kami menjalankan kajian mengenai sektor yang terdedah. Kami kemudian memberi keutamaan kepada pemain dalam sektor ini,” katanya. — Bernama



