Perniagaan kecil di sepanjang laluan LRT3 antara Petaling Jaya dan Klang dijangka menerima rangsangan ekonomi yang ketara susulan pembukaan penuh perkhidmatan rel ringan itu. Kumpulan perniagaan dan pakar ekonomi menyatakan bahawa LRT3 berpotensi menarik lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah dan makan di Klang, sekali gus meningkatkan hasil perniagaan tempatan.
Peningkatan Hasil dan Peluang Pekerjaan
Presiden PKS Malaysia, Chin Chee Seong, berkata berdasarkan trend di sepanjang laluan LRT lain di Lembah Klang, perniagaan di kawasan sekitar LRT3 berkemungkinan merekodkan peningkatan hasil. Beliau memetik Klang sebagai contoh, di mana bandar diraja itu mempunyai pelbagai tarikan beli-belah dan tempat makan, tetapi orang ramai sebelum ini enggan memandu ke sana disebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. "LRT3 akan memainkan peranan penting dalam merangsang perniagaan di sana," katanya kepada FMT. "Kini lebih mudah untuk orang ramai dari luar Klang ke sana. Mereka tidak perlu merisaukan keadaan lalu lintas atau mencari tempat meletak kereta."
Chin juga menekankan bahawa rangkaian rel itu memudahkan perniagaan mengambil pekerja. "Ada pekerja yang menolak peluang pekerjaan disebabkan lokasi terlalu jauh atau sukar dicapai tanpa pengangkutan awam. Dengan LRT3, pekerja akan mempunyai lebih banyak pilihan. Ini akan membuka peluang pekerjaan untuk PKS khususnya di barat Lembah Klang. Ini memang baik untuk mobiliti tenaga kerja," katanya.
Laluan dan Stesen LRT3
LRT3, atau rasmi dikenali sebagai LRT laluan Shah Alam, sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya, melalui Shah Alam, ke Klang. Terdapat 25 stesen di sepanjang laluan itu, dengan 20 stesen sudah beroperasi manakala selebihnya bakal menyusul.
Potensi Ekonomi dan Kepentingan Perancangan Bersepadu
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid, berkata LRT3 berpotensi mengukuhkan ekonomi Klang dengan membaiki kebolehcapaian. "Stesen LRT juga boleh dilihat sebagai aset hartanah kerana menyediakan ruang runcit," katanya. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa koordinasi antara kerajaan persekutuan dan negeri, serta pihak berkuasa tempatan dan pengendali pengangkutan adalah penting. Tanpa perancangan secara berintegrasi, pulangan ekonomi daripada LRT3 mungkin tidak mencapai potensi sepenuhnya.
Afzanizam berkata, perkhidmatan rel hanya satu aspek ekosistem berkenaan. "Penyambungan pada jarak pertama dan terakhir sama pentingnya. Pengguna sewajarnya dapat melalui perjalanan antara stesen dengan kediaman atau tempat kerja dengan mudah. Ini bererti keutamaan mesti diberikan terhadap membaiki perkhidmatan bas pengantara, menyediakan laluan pejalan kaki, infrastruktur basikal, serta kemudahan pandu dan rantau." Katanya, kerajaan juga boleh menggalakkan pembangunan berorientasikan transit dengan campuran ruang kediaman, perdagangan dan runcit di sekitar stesen-stesen.
Beliau menambah, LRT3 sebahagian daripada ekosistem ekonomi Lembah Klang dan bukan sekadar laluan rel untuk Klang. "Mengintegrasikan Klang lebih rapat dengan pusat pekerjaan utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur juga dapat menyokong pembangunan wilayah dengan lebih seimbang."
Manfaat untuk Kawasan Little India Klang
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, N Gobalakrishnan, berkata kawasan Little India di Klang juga mampu merasai manfaat LRT3. "Ramai pengunjung mengelak kawasan itu disebabkan kesesakan lalu-lintas dan kekurangan tempat meletak kereta. Dengan LRT3, orang ramai boleh meninggalkan kenderaan dan menaiki tren ke Klang, membeli-belah dan pulang. Sudah pasti lebih mudah," katanya.



