Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan dua syarat baharu bagi import kenderaan elektrik siap bina sepenuhnya (CBU) berkuat kuasa 1 Julai depan, susulan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun pada 31 Disember 2025.
Syarat baharu import EV CBU
Menurut kenyataan MITI, mulai 1 Julai, semua kenderaan elektrik CBU yang diimport perlu mematuhi dua syarat berikut:
- Nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000.
- Ambang minimum kuasa motor diturunkan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas.
Dasar bagi import kenderaan elektrik CBU kini kembali tertakluk kepada peraturan sedia ada selepas tempoh pengecualian berakhir. Bagaimanapun, syarikat yang masih mempunyai baki stok, termasuk kenderaan yang sudah berada dalam inventori, di pelabuhan atau sedang dalam perjalanan, masih dibenarkan menjualnya mengikut syarat pengecualian lama sehingga stok berkenaan habis.
Implikasi kepada pasaran EV
Kementerian berkata, pemegang AP francais telah dimaklumkan mengenai pelarasan itu dalam satu sesi libat urus pada 30 April. “MITI kekal komited untuk memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten dan seimbang dalam menyokong pembangunan industri automotif, selain melindungi kepentingan ekonomi negara dan hak pengguna kenderaan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan paultan.org yang mendakwa syarat berkenaan akan menyebabkan banyak EV kelas pertengahan tersingkir daripada pasaran, sekali gus meninggalkan pilihan yang lebih tertumpu kepada model premium.



