PM Anwar gesa agensi bantu peniaga kecil belum tahu kemudahan pinjaman kerajaan
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa agensi berkaitan untuk mempergiatkan usaha di peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan dan bantuan kepada peniaga kecil dan sederhana yang masih belum mengetahui tentang kemudahan pembiayaan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu penting untuk memastikan golongan tersebut tidak terlepas daripada mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dicipta khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Ada yang masih tidak tahu mengenai kemudahan yang ada. Jadi saya minta agensi berkaitan turun ke bawah dan beri penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Taman Melawati hari ini.
Beliau berkata, peniaga kecil dan penjaja harus terus diberi perhatian kerana mereka berjumlah ratusan ribu tetapi masih kekurangan platform yang kukuh untuk menyuarakan pandangan mereka.
Mengenai lawatannya, Anwar berkata maklum balas yang diterima daripada peniaga kecil dan penjaja secara amnya sangat positif, dengan kebanyakan mereka meluahkan rasa syukur kerana berpeluang mendapatkan kemudahan pembiayaan mikro yang disediakan oleh kerajaan dan agensinya.
“Saya tanya sendiri. Kebanyakan mereka sudah sangat bersyukur dan berterima kasih kepada badan dan agensi yang membantu mereka, walaupun untuk pinjaman RM10,000,” kata Perdana Menteri.
Anwar juga berkata kebanyakan mereka lebih fokus untuk mencari rezeki daripada mengeluh tentang cabaran yang dihadapi.
Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan peniaga adalah harga barangan keperluan tertentu yang agak tinggi, namun masalah itu boleh diatasi melalui peranan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan yang membantu membekalkan barangan pada harga lebih berpatutan.
“Saya tanya sama ada ada masalah, sama ada mereka boleh dapat pinjaman dan mampu bayar balik. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan MADANI mengumumkan lebih RM5 bilion dalam kemudahan pembiayaan mikro untuk tahun 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro.
Kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000, dengan kadar pembiayaan untuk skim tertentu serendah empat peratus setahun. — Bernama



