Kerajaan peruntuk RM1 juta untuk program pemulihan pusat bandar Kuala Lumpur
RM1 juta untuk pemulihan pusat bandar Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk Program Geran Downtown Kuala Lumpur 2026 bagi menyokong pemeliharaan warisan dan pemulihan pusat bandar raya.

Peruntukan dan Skop Geran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata program pemulihan bandar ini menawarkan geran antara RM30,000 hingga RM100,000 bagi setiap projek yang diluluskan untuk memberi manfaat kepada komuniti setempat, usahawan dan pengamal seni kreatif.

“Setiap kali saya meluangkan masa di Kuala Lumpur, saya diingatkan bahawa bahagian bandar ini menceritakan dua kisah serentak. Satu adalah kisah masa lalu kita, dan satu lagi adalah kisah yang masih kita tulis bersama.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kejayaan Kuala Lumpur tidak akan diukur hanya dengan pembangunan baharu. Ia akan diukur sama ada orang ramai terus memilih untuk tinggal di sini, bekerja di sini, melabur di sini dan kembali ke sini. Itulah bandar dan Kuala Lumpur yang akan kita bina bersama,” katanya ketika melancarkan program di sini hari ini.

Pendorong Ekonomi Domestik

Hannah berkata pembiayaan daripada Kementerian Kewangan memastikan seni, budaya dan warisan menjadi pemacu utama ekonomi domestik.

“Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Unesco mengingatkan kita bahawa budaya bukan sahaja tentang memelihara masa lalu. Ia juga tentang penciptaan pekerjaan, menarik pelawat dan mengukuhkan ekonomi kita,” katanya.

Menurut Hannah, beliau mengutamakan komitmen untuk mengubah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi fasilitator sebenar bagi membolehkan ekonomi ibu kota berkembang.

Peranan DBKL sebagai Fasilitator

“Dan saya membayangkan DBKL sebagai wajah yang sangat mesra. Apabila semua orang memikirkan tentang DBKL, saya tidak mahu anda melihat DBKL sebagai penghalang. Imej DBKL sebagai penghalang itu mesti dihapuskan. DBKL mestilah menjadi fasilitator untuk bandar ini berkembang maju,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Hannah berkata kriteria kelayakan untuk permohonan dana akan diumumkan tidak lama lagi oleh Think City, rakan strategik yang menyelaraskan program itu.

“Saya harap semua pihak yang berminat, terutamanya mereka yang mempunyai idea baharu, akan memohon. Think City akan menyediakan kriteria penuh, dan saya berharap dapat bekerjasama untuk menjana idea baharu yang akan menghidupkan semula Kuala Lumpur,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga