Stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sepanjang laluan Ampang/Sri Petaling terus beroperasi hari ini dengan jadual perkhidmatan yang diubah susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin semalam.
Tinjauan di Stesen
Tinjauan Bernama di beberapa stesen di sepanjang laluan tersebut, termasuk dari Stesen Cheras ke Stesen Pudu, mendapati operasi berjalan seperti biasa dengan kaunter tiket dibuka kepada orang ramai.
Bagi memastikan pergerakan penumpang lancar, pengumuman panduan perjalanan dibuat secara berkala melalui sistem pembesar suara stesen, selain kakitangan Rapid Rail ditempatkan di platform untuk membantu pengguna menaiki tren ke destinasi masing-masing.
Platform Alternatif di Cheras
Di Stesen Cheras, hanya satu platform digunakan secara bergilir untuk kedua-dua arah perkhidmatan, melibatkan tren menuju ke Putra Heights dan Sentul Timur.
Seorang penumpang, Arif Norazlan, 21, berkata perjalanannya dari Stesen Cheras ke Stesen Pudu berjalan lancar berkat bantuan dan panduan yang diberikan oleh kakitangan Rapid Rail.
“Saya tidak menunggu lama untuk menaiki tren. Walaupun platform yang digunakan hari ini berbeza daripada biasa, kakitangan banyak membantu penumpang untuk menaiki tren yang betul,” katanya kepada Bernama.
Penumpang Pilih E-Hailing
Sementara itu, seorang lagi penumpang, B. Thanabala Singham, 46, berkata dia dalam perjalanan dari Stesen Masjid Jamek ke Ampang apabila kakitangan memaklumkan dia perlu turun di Stesen Pudu untuk menggunakan perkhidmatan tren ulang-alik ke destinasi.
Bagaimanapun, dia memilih untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Pudu menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Berikutan gangguan perkhidmatan LRT, saya mengambil keputusan untuk menggunakan e-hailing dari Stesen Pudu ke destinasi saya. Saya berharap perkhidmatan di laluan ini dapat dipulihkan seperti biasa secepat mungkin,” katanya.
Insiden Tergelincir
Dalam kejadian semalam, tren laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini berkata landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi selewat-lewatnya pada Rabu depan.
Beliau juga memaklumkan semua stesen di laluan Ampang/Sri Petaling akan kekal beroperasi, tetapi akan menggunakan jadual perkhidmatan yang diubah bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan dalam tempoh kerja pemulihan. — Bernama



