AMPANG: Kesan krisis bekalan global terhadap kos sara hidup dijangka mula dirasai rakyat Malaysia dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz.
Beliau berkata, perkara ini didorong oleh kenaikan kos dalam rantaian bekalan, termasuk logistik, baja serta input industri lain.
“Berdasarkan kajian dan analisis yang dijalankan, kesan ini akan memberi impak kepada harga makanan dan barangan harian, walaupun kenaikannya mungkin tidak begitu ketara pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama selepas meninjau Pasar Taman Muda, di sini.
Zafrul berkata, antara sektor yang dijangka terkesan terlebih dahulu ialah logistik, diikuti pertanian serta industri yang bergantung kepada bahan mentah seperti plastik.
Menurutnya, situasi itu berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global yang bukan sahaja memberi tekanan kepada harga minyak, tetapi turut melibatkan kos input pengeluaran dan pengedaran.
Tinjauan di Pasar Taman Muda
Mengenai tinjauan di pasar itu, Zafrul berkata setakat ini kesan terhadap harga bahan mentah belum ketara, namun terdapat tanda awal seperti kenaikan kos bahan pembungkusan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan dalam negara masih terkawal berikutan subsidi bahan api membantu mengekang kos pengangkutan. Beliau juga mengingatkan rakyat supaya lebih berhemah dalam penggunaan tenaga, termasuk bahan api.
Beliau menambah bahawa kerajaan akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan impak kepada rakyat.



