Kerajaan digesa melaksanakan subsidi bersasar dengan lebih menyeluruh, termasuk menilai semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada kumpulan T20, kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Subsidi perlu disalurkan kepada yang memerlukan
Beliau berkata subsidi itu seharusnya disalurkan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih terjejas dengan kenaikan kos sara hidup, selain langkah mengukuhkan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Dalam situasi ekonomi semasa, kita perlu merasionalisasikan semula subsidi dan melaksanakannya secara bersasar kepada mereka yang benar-benar memerlukan, termasuk dengan menyalurkan semula subsidi minyak daripada T20 kepada B40 dan M40,” katanya pada sidang media Runding Meja Bulat Nasional (Rimbun) 2.0 hari ini.
Cadangan antara 25 resolusi utama
Cadangan itu antara 25 resolusi utama yang dibincangkan dalam program RIMBUN 2.0 yang memberi tumpuan kepada isu kedaulatan ekonomi negara.
Beliau berkata hasil perbincangan yang melibatkan 25 resolusi itu akan dimurnikan sebelum dibentangkan kepada Biro Politik UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi untuk dipertimbangkan, sebelum dibawa ke perhatian Kabinet sebagai cadangan dasar kerajaan. – Bernama



