KUALA LUMPUR: Pendaftaran syarikat menggunakan nama warga tempatan termasuk golongan gelandangan dikesan antara taktik digunakan segelintir warga asing bagi mengelak cukai menerusi kegiatan ekonomi bayangan.
Penggunaan proksi dalam ekonomi bayangan
Pengarah Cawangan Pembayar Cukai Asing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syarein Abu Samah, berkata siasatan bersama polis pada tahun lepas mendapati kira-kira 90% kes ekonomi bayangan melibatkan penggunaan proksi bagi pemilikan syarikat. Syarikat berkenaan didaftarkan menggunakan nama warga tempatan, namun operasi sebenar dikendalikan warga asing bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Realitinya mereka ini (warga tempatan) sebagai penama sahaja. Lebih menarik, pemilik syarikat terbabit adalah golongan yang kurang bernasib baik. Sebagai contoh, mereka ini golongan gelandangan yang tiada rumah,” katanya.
Persepsi terhadap warga asing dan cukai
Bagaimanapun, Syarein berkata persepsi bahawa majoriti warga asing tidak membayar cukai adalah kurang tepat kerana golongan itu turut menjadi penyumbang kepada kutipan cukai pendapatan. “Namun, masih terdapat segelintir pihak yang gagal melaporkan pendapatan, kurang melaporkan pendapatan atau sengaja melarikan cukai melalui ekonomi bayangan, termasuk melalui transaksi tanpa rekod, penggunaan proksi dan akaun pihak ketiga yang dikenali sebagai ‘pengguna Alibaba’,” katanya.
Tanggungjawab majikan
Mengulas peranan majikan, Syarein berkata majikan bertanggungjawab memastikan pekerja asing didaftarkan sebagai pembayar cukai, selain membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) sekiranya pendapatan pekerja melepasi paras pendapatan bercukai. “Majikan perlu memastikan mereka didaftarkan sebagai pembayar cukai di Malaysia bagi memastikan rekod mereka dan pematuhan cukai adalah teratur. Dalam konteks ini, majikan tidak boleh menganggap pekerja yang mereka ambil itu berada di luar sistem percukaian hanya kerana mereka bukan warganegara Malaysia,” katanya.
Penubuhan cawangan khas dan langkah pengesanan
Syarein berkata kerajaan pada penghujung 2024 bersetuju menubuhkan Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA) bawah LHDN yang mula beroperasi secara rasmi pada 1 Jan tahun lepas bagi menguruskan isu percukaian melibatkan warga asing dan syarikat asing yang menjalankan perniagaan. Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan bagi 2025, terdapat kira-kira 3.38 juta pekerja asing sah, manakala jumlah keseluruhan warga asing termasuk pendatang tanpa izin dianggarkan antara empat hingga enam juta orang.
Syarein berkata Bank Negara (BNM) menganggarkan pengaliran wang keluar melibatkan warga asing mencecah kira-kira RM61 bilion setahun pada 2025. Beliau berkata LHDN menggunakan pelaksanaan e-invois bagi membantu mengesan transaksi dan penerima pendapatan dengan lebih tepat, selain bekerjasama dengan BNM serta polis bagi mengesan transaksi mencurigakan, termasuk penghantaran wang keluar melalui saluran tidak sah.



