KUALA LUMPUR, 8 Mei — Reneuco Bhd akan dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 Mei 2026 selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak rayuan syarikat untuk mendapatkan lebih masa bagi mengemukakan pelan regularisasinya.
Dalam satu pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini, syarikat tenaga boleh baharu itu memaklumkan bahawa Bursa Malaysia telah menolak rayuannya untuk lanjutan masa sehingga 7 November 2026 bagi memuktamadkan dan mengemukakan pelan regularisasi kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kelulusan.
Syarikat itu berkata Bursa Malaysia juga telah memutuskan untuk menyahsenarai sekuriti syarikat daripada senarai rasmi Bursa Malaysia menurut Perenggan 8.04 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
“Sehubungan itu, sila maklum bahawa sekuriti syarikat akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia selepas tamat tempoh dua hari pasaran dari tarikh ini, iaitu pada 12 Mei 2026,” katanya.
Reneuco berkata sekuriti yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd akan ditarik balik oleh syarikat selepas penyahsenaraian.
“Selepas penyahsenaraian syarikat, syarikat akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaan serta menjalankan penyusunan semula korporat dan pemegang saham masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat.
“Walau bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Malaysia. Kepentingan dan hak pemegang saham akan terus dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016,” tambahnya. — Bernama



