KUALA LUMPUR, 30 April — Bursa Malaysia diniagakan dalam keadaan tidak menentu pada awal dagangan Khamis dengan sentimen berhati-hati berikutan ketidaktentuan luaran, kata peniaga.
Ketegangan di Asia Barat dan harga minyak yang tinggi membebankan pasaran selepas langkah mengejut Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.92 mata, atau 0.11 peratus, kepada 1,718.50 daripada penutup Rabu pada 1,720.42.
Indeks petunjuk utama dibuka rendah 0.19 mata pada 1,720.23. Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 242 berbanding 175. Sebanyak 326 kaunter tidak berubah, 1,929 tidak diniagakan, dan 77 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 189.43 juta saham bernilai RM101.98 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata minyak mentah Brent melonjak kepada AS$118 setong selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi isyarat persediaan untuk sekatan berpanjangan terhadap Iran, meningkatkan kebimbangan mengenai potensi gangguan kepada bekalan tenaga global.
“Di peringkat domestik, walaupun FBM KLCI ditutup rendah semalam berikutan pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini, penarikan balik mungkin menawarkan peluang untuk mengumpul saham patuh syariah yang kukuh pada penilaian yang lebih menarik,” katanya kepada Bernama.
“Memandang ke hadapan, sentimen dijangka kekal berhati-hati di tengah-tengah harga minyak yang tinggi dan ketegangan geopolitik yang berterusan. Walaupun penurunan mungkin diimbangi oleh pembelian terpilih, kenaikan mungkin beransur-ansur tanpa adanya pemangkin positif yang jelas,” tambahnya.
Thong berkata indeks petunjuk utama dijangka diniagakan dalam julat 1,710-1,730 hari ini.
Dalam kalangan saham berat, Maybank naik empat sen kepada RM11.08 dan CIMB bertambah satu sen kepada RM7.70. Public Bank turun dua sen kepada RM4.73, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare susut 10 sen masing-masing kepada RM14.50 dan RM8.71.
Dalam kalangan saham paling aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada satu sen, GDB meningkat satu sen kepada 41 sen dan Hengyuan Refining naik tiga sen kepada RM1.36, manakala MRCB dan Econpile turun satu sen masing-masing kepada 35.5 sen dan 15.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung tertinggi, Nestle meningkat RM1.70 kepada RM104.60, Malaysian Pacific Industries naik 28 sen kepada RM38.28, LPI Capital naik 20 sen kepada RM14.60, manakala MBM Resources dan United Plantations masing-masing naik 12 sen kepada RM5.12 dan RM32.12.
Dalam kalangan kaunter rugi tertinggi, Paragon Union turun 14 sen kepada RM4.70, manakala Sunway Construction dan Manulife masing-masing susut sembilan sen kepada RM6.94 dan RM2.29. Keyfield turun tujuh sen kepada RM1.66, dan Ajinomoto susut enam sen kepada RM12.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.13 mata kepada 12,729.07, Indeks FBM Top 100 susut 12.59 mata kepada 12,599.03, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 21.79 mata kepada 12,686.05, Indeks FBM Mid 70 susut 12.03 mata kepada 18,186.06, dan Indeks FBM ACE susut 6.41 mata kepada 4,657.08.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 1.98 mata kepada 847.04, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.83 mata kepada 19,989.64. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.04 mata kepada 195.09, dan Indeks Perladangan naik 10.79 mata kepada 8,828.58. — Bernama



