KUALA LUMPUR, 9 Mei — Bursa Malaysia dijangka berdagang dalam mod terhad (range-bound) minggu depan selepas indeks petunjuk, FBM KLCI, berjaya menembusi paras 1,750, disokong oleh peningkatan selera risiko global dan rekod berulang Wall Street, menurut seorang penganalisis.
Peralihan Tumpuan Pelabur
Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata walaupun tema kecerdasan buatan (AI) dan teknologi global kekal sebagai pemacu pasaran utama, tumpuan pelabur kini beralih daripada 'Magnificent Seven' kepada pemain infrastruktur AI, perisian dan ekosistem semikonduktor peringkat kedua.
'Magnificent Seven' terdiri daripada Nvidia, Microsoft, Alphabet, Amazon, Meta Platforms, Apple, dan Tesla, yang kini merupakan syarikat teknologi pertumbuhan tinggi paling berpengaruh di Wall Street.
"Peralihan ini boleh mencetuskan volatiliti jangka pendek dan pengambilan untung merentas kaunter teknologi jika momentum pendapatan menjadi perlahan," katanya.
"Pada masa sama, pasaran akan terus memantau dengan teliti perkembangan geopolitik di Asia Barat, terutamanya pergerakan harga minyak," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak mentah, yang kekal tinggi melebihi AS$100 setong, boleh mengekalkan kebimbangan inflasi dan melemahkan selera risiko yang lebih luas, manakala sebarang penurunan bermakna dalam harga minyak boleh membantu mengukuhkan sentimen berisiko dalam kalangan pelabur global.
Prestasi Mingguan
Untuk minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya didagangkan lebih tinggi, dengan sentimen dipengaruhi oleh konflik Asia Barat, prestasi pasaran serantau dan keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Secara mingguan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 26.04 mata kepada 1,748.06 daripada 1,722.02 seminggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 206.49 mata kepada 12,930.23, Indeks FBMT 100 melonjak 212.47 mata kepada 12,772.53, Indeks FBM Emas Shariah menambah 119.95 mata kepada 12,838.31, dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 398.25 mata kepada 18,484.22, manakala Indeks FBM ACE susut 6.79 mata kepada 4,611.32.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menjunam 100.90 mata kepada 8,838.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit 1.66 mata kepada 194.65, dan Indeks Tenaga merosot 28.36 mata kepada 812.32, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 488.78 mata kepada 20,373.81.
Jumlah dagangan mingguan berkembang kepada 16.99 bilion unit bernilai RM16.37 bilion daripada 14.15 bilion unit bernilai RM13.03 bilion seminggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 9.54 bilion unit bernilai RM9.54 bilion daripada 8.65 bilion unit bernilai RM11.94 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.43 bilion unit bernilai RM752.02 juta berbanding 4.02 bilion unit bernilai RM539.16 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.02 bilion unit bernilai RM675.81 juta daripada 2.06 bilion unit bernilai RM812.78 juta pada minggu sebelumnya. — Bernama



