KUALA LUMPUR, 25 April — Indeks utama Bursa Malaysia dijangka bergerak secara sisi dalam julat 1,700 hingga 1,730 mata pada minggu depan, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.
Pandangan Penganalisis
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan bergerak sisi dengan kecenderungan sedikit menaik, disokong oleh pembelian murah yang berterusan dan sentimen yang semakin pulih.
“Walaupun risiko penurunan terkawal buat masa ini, kenaikan yang mampan bergantung kepada hala tuju luaran yang lebih jelas, terutamanya perkembangan ketegangan geopolitik dan isyarat pasaran global,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata tumpuan kini beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat pada 28-29 April, di mana dasar kadar faedah dijangka kekal tidak berubah pada 3.50 hingga 3.75 peratus.
“Ini disertai panduan yang mengukuhkan pendirian kadar lebih tinggi lebih lama di tengah-tengah inflasi yang melekat.
“Secara selari, musim pendapatan AS memberikan sedikit sokongan, dengan laporan awal menunjukkan S&P 500 kekal pada landasan untuk satu lagi suku pertumbuhan pendapatan yang kukuh,” katanya.
Faktor Risiko
Mohd Sedek berkata walaupun ini menyokong sentimen risiko jangka pendek, ia mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi sepenuhnya risiko daripada ketegangan geopolitik dan turun naik harga tenaga.
“Minggu dagangan yang dipendekkan akibat cuti Hari Pekerja juga berkemungkinan mengurangkan kecairan pasaran.
“Secara keseluruhan, kami mengekalkan pandangan bahawa daya tahan pasaran masih rapuh, dengan FBM KLCI berkemungkinan kekal dalam fasa pengukuhan di tengah-tengah persekitaran luaran yang semakin kompleks,” katanya.
Prestasi Mingguan
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya didagangkan lebih tinggi. Secara Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 25.13 mata kepada 1,720.34 daripada 1,695.21 seminggu sebelumnya.
Di papan indeks, FBM Top 100 Index naik 198.09 mata kepada 12,549.30, FBM Emas Index meningkat 197.55 mata kepada 12,715.72, FBM Emas Shariah Index naik 138.55 mata kepada 12,586.61, FBM ACE Index meningkat 52.67 mata kepada 4,652.32, manakala FBM Mid 70 Index melonjak 348.70 mata kepada 18,072.43.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 408.14 mata kepada 20,222.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 4.32 mata kepada 192.36, dan Indeks Tenaga meningkat 14.54 mata kepada 830.31, manakala Indeks Perladangan merosot 83.40 mata kepada 8,845.26.
Jumlah pusing ganti mingguan meningkat sedikit kepada 16.39 bilion unit bernilai RM15.16 bilion daripada 16.35 bilion unit bernilai RM14.87 bilion seminggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 9.33 bilion unit bernilai RM13.66 bilion daripada 8.97 bilion unit bernilai RM13.41 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.00 bilion unit bernilai RM681.05 juta berbanding 4.58 bilion unit bernilai RM585.74 juta minggu lalu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.06 bilion unit bernilai RM812.78 juta daripada 2.80 bilion unit bernilai RM873.03 juta pada minggu sebelumnya.
— Bernama



