Bursa Malaysia dibuka lebih kukuh hari ini, didorong oleh minat beli terhadap saham berat terpilih selepas pasaran mengundur minggu lalu selepas kenaikan lima sesi.
Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 0.35 mata kepada 1,748.41 daripada penutup Jumaat pada 1,748.06. Indeks penanda aras dibuka 5.94 mata lebih kukuh pada 1,754.0.
Keadaan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 242 berbanding 208. Sebanyak 352 kaunter tidak berubah, 1,851 tidak didagangkan, dan 12 digantung. Jumlah dagangan sebanyak 260.89 juta saham bernilai RM151.45 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup tinggi apabila Nasdaq dan S&P 500 mencatat rekod tertinggi. Sentimen keseluruhan diperkukuh oleh data pekerjaan yang lebih baik daripada jangkaan selain pendapatan kukuh setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, ketidaktentuan masih wujud di Asia Barat apabila Amerika Syarikat dan Iran bertukar tembakan, mendorong minyak mentah Brent lebih tinggi pada AS$101 setong.
“Walaupun begitu, kami kekal yakin indeks akan menaik lebih tinggi, disokong oleh penyertaan pembelian asing yang berterusan. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks berada dalam julat 1,745-1,760,” katanya kepada Bernama.
Antara saham berat, YTL Corp naik lima sen kepada RM2.31, Gamuda meningkat tiga sen kepada RM4.53, dan Maybank naik empat sen kepada RM11.22. Public Bank turun tiga sen kepada RM4.85, dan RHB Bank tidak berubah pada RM8.30.
Antara saham paling aktif, Velesto dan VS Industry tidak berubah masing-masing pada 32 sen dan 19.5 sen, Zetrix AI dan SMRT naik satu sen setiap satu kepada 88 sen dan 22 sen, manakala AirAsia turun dua sen kepada RM1.25.
Antara kaunter untung utama, Hume Cement naik 11 sen kepada RM3.22, Press Metal dan KESM mengukuh 10 sen setiap satu kepada RM8.78 dan RM4.66, IOI Properties naik sembilan sen kepada RM4.57, dan Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM5.45.
Antara kaunter rugi utama, United Plantations susut 16 sen kepada RM30.64, Time DotCom turun 14 sen kepada RM6.21, MISC, VSTecs dan PPB turun enam sen setiap satu kepada RM8.21, RM5.39 dan RM11.14.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.18 mata kepada 12,937.42, Indeks FBM Top 100 naik 7.70 mata kepada 12,780.23, Indeks FBM Emas Shariah menambah 13.53 mata kepada 12,851.84, Indeks FBM Mid 70 naik 33.26 mata kepada 18,517.48, dan Indeks FBM ACE naik 2.87 mata kepada 4,614.19.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 26.30 mata kepada 20,247.51, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.16 mata kepada 195.81, Indeks Tenaga naik 2.45 mata kepada 814.76, dan Indeks Perladangan melonjak 33.97 mata kepada 8,872.38.



