Wanita didenda RM4,000 hantar maklumat palsu harga minyak di media sosial
Wanita didenda RM4,000 hantar maklumat palsu harga minyak

PUTRAJAYA: Seorang wanita didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu mengenai harga petrol dan diesel melalui media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam satu kenyataan, berkata tertuduh, Nur Irsalina Omar Kumar, didakwa kerana memuat naik satu hantaran yang diedit menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 melalui akaun Threadsnya, “its.ellsaleena_”, pada 31 Mac.

“Hantaran itu mengandungi maklumat palsu tentang kenaikan harga minyak. Perbuatan itu mengelirukan orang ramai dan menimbulkan kebimbangan mengenai kos sara hidup,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

MCMC memaklumkan mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Namun, beliau telah pun menjelaskannya.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, terutamanya mengenai perkara kepentingan awam, boleh memberi implikasi negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga