LUMUT, 13 Mei — Tiga lagi mayat wanita yang dipercayai mangsa tragedi bot karam membawa pendatang Indonesia tanpa izin di perairan Pulau Pangkor pada Isnin telah ditemui.
Penemuan Terkini
Pegawai Pemerintah Operasi Markas Wilayah Satu Polis Marin DSP Mazre Che Mahmod berkata, tiga mayat tersebut ditemui oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Indera Sakti kira-kira 20 batu nautika dari lokasi kejadian pada sekitar jam 6 petang semalam.
“Siasatan untuk mengenal pasti identiti tiga mangsa sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jumlah Mangsa Meningkat
Mazre berkata, penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini adalah 30 orang, selepas 23 daripada mereka diselamatkan pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11 Mei.
“Kami masih mencari tujuh lagi mangsa. Hari ketiga operasi SAR disambung semula pada jam 7 pagi ini, melibatkan Polis Marin, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Operasi SAR
Semalam, empat mayat ditemui di perairan Pulau Pangkor. Operasi SAR hari ini melibatkan dua bot Polis Marin, tiga kapal TLDM dan tiga aset APMM — Kapal Maritim (KM) Malawali, BENTENG 1203 dan sebuah pesawat Bombardier CL415MP dari Stesen Udara Subang.
Semalam, APMM Perak menyelamatkan 23 pendatang Indonesia selepas bot yang membawa mereka karam di perairan Pulau Pangkor berhampiran Lumut pada Isnin.
Bot tersebut dilaporkan membawa 37 pendatang tanpa izin dari Indonesia, yang dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia, pada 9 Mei menuju ke Malaysia.



