HULU LANGAT, 13 Jun — Proses perobohan struktur penempatan yang menempatkan warga Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Tekali, di sini dijangka mengambil masa dua minggu, kata Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan.
Proses Perobohan Bermula
Beliau berkata proses itu bermula di bahagian belakang kawasan tersebut, melibatkan struktur yang dibina di atas tanah rizab kerajaan dan sebahagian tanah persendirian.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa bangunan tiga tingkat yang tular di media sosial tidak akan dirobohkan buat masa ini kerana ia dibina sepenuhnya di atas tanah persendirian.
“Saya telah dimaklumkan bahawa pemilik tanah memerlukan dua minggu untuk merobohkan struktur satu tingkat di belakang, dan bukan bangunan yang dikhabarkan sebagai flat atau pangsapuri tiga tingkat yang tular sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tinjauan di Lokasi
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pemilik tanah telah memulakan perobohan sebahagian struktur bangunan di penempatan tersebut bermula jam 9 pagi tadi, menggunakan dua orang pekerja dan sebuah jentolak.
Tinjauan itu juga mendapati operasi tersebut tidak melibatkan bangunan tiga tingkat yang tular di media sosial.
Keterangan Warga Rohingya
Sementara itu, seorang warga Rohingya yang ditemui di lokasi memaklumkan bahawa hanya satu keluarga yang menyewa bangunan tersebut sebelum isu itu tular.
Hussein, 31, yang bekerja sebagai pembina rumah, berkata dia pernah tinggal di bangunan itu antara 2018 dan 2020, membayar sewa bulanan sebanyak RM500.
“Pada 2020, pegawai dari Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Majlis Daerah Hulu Langat mengarahkan kami keluar,” katanya. — Bernama



