PETALING JAYA: Polis telah menahan dua pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang pembantu rumah di sebuah kediaman di Tampoi, Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam selepas empat video tular berkaitan kes penderaan itu dikesan oleh pihak polis.
Polis merampas beberapa telefon bimbit dan dua pasport milik wanita warga asing yang dipercayai pernah bekerja sebagai pembantu rumah kepada salah seorang pasangan tersebut, lapor Berita Harian.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku pada 26 Julai tahun lalu, tetapi hanya tular baru-baru ini. Beliau menambah, pihak polis sedang mencari dua wanita, kedua-duanya warga asing berusia 20-an, untuk membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua wanita itu dipercayai telah didera oleh suspek, dan telah melarikan diri daripada majikan mereka tetapi mungkin masih berada di dalam negara.
“Keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka didapati negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat hari ini,” kata Rahaman, sambil menambah motif masih dalam siasatan.
Kes ini disiasat mengikut kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera, ugutan jenayah, menggunakan kekerasan jenayah untuk menyinggung perasaan seseorang, penyalahgunaan kemudahan rangkaian, dan menyimpan pasport orang lain secara tidak sah.



