Dua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di selatan Lubnan mengalami kecederaan ringan susulan serangan udara berhampiran kawasan Haris pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, dalam satu kenyataan berkata insiden berlaku pada pukul 9.25 pagi waktu tempatan kira-kira satu kilometer barat pangkalan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tibnin.
Beliau memaklumkan pasukan Malbatt sedang dalam misi bekalan rutin menuju ke Tyre apabila serangan berlaku, menyebabkan dua anggota cedera akibat serpihan kaca dari kenderaan mereka. Dua kenderaan PBB turut mengalami kerosakan luaran akibat serangan tersebut.
“Pasukan tindak balas pantas Malbatt telah diaktifkan untuk membantu anggota yang terlibat, memulihkan kenderaan dan membawa mereka kembali ke pangkalan.
“Kedua-dua anggota yang cedera dalam insiden ini telah menjalani pemeriksaan perubatan dan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kematian dilaporkan. Keluarga mereka juga telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” katanya.
Khaled berkata pasukan Malbatt akan meningkatkan langkah berjaga-jaga, termasuk mengetatkan prosedur pergerakan konvoi dan menambah baik koordinasi dengan Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL).
Pasukan Malbatt telah menghadapi beberapa insiden hampir maut sejak beberapa bulan lalu. Pada Mac, ia diarahkan berundur selepas pos kawalannya rosak dalam serangan udara Israel. Terdapat juga letupan berhampiran ibu pejabatnya kira-kira dua minggu kemudian tetapi pasukan itu tidak cedera.
Pada April, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Malaysia akan meminta PBB mengkaji semula syarat penempatan untuk misi pengaman di bawah UNIFIL, termasuk Malbatt 850-13. Mohamad berkata keadaan di Lubnan tidak lagi kondusif untuk misi pengaman, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 500 anggota Malbatt yang ditempatkan di sana.



