Setiap liter bahan api yang tidak digunakan ialah satu liter yang Malaysia tidak perlu dapatkan daripada Rusia atau sumber lain pada harga lebih mahal dan melalui laluan lebih panjang. PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia tahu perang sedang berlaku di Timur Tengah. Pada Februari, Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang dipimpin Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melancarkan serangan ke atas Iran. Sebagai tindak balas, Iran menutup Selat Hormuz sebelum gencatan senjata diumumkan pada April. Kini, kita sudah masuk Mei dan selat itu masih belum dibuka sepenuhnya.
Pada masa sama, 80% eksekutif industri minyak dan gas yang ditinjau oleh Rizab Persekutuan Dallas percaya laluan itu hanya akan dibuka semula pada Ogos atau lebih lewat. Akibatnya, dunia berdepan kekurangan bekalan bahan api, dan amaran mula diberikan kepada pelbagai industri yang bergantung kepada petroleum, bermula daripada sektor ubat-ubatan hingga ke baja. Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'kejutan bekalan'? FMT meneliti isu ini dengan lebih mendalam kerana jawapannya akan memberi petunjuk apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia.
Tiada penyelesaian biasa
Apabila krisis kewangan melanda, kerajaan boleh mendorong perbelanjaan, menurunkan kadar faedah dan menyalurkan bantuan tunai. Langkah itu berkesan jika orang ramai tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli barangan yang masih ada di pasaran. Namun krisis bekalan bermaksud jumlah barangan berkurang, bukannya wang. "Pada Mei, kita ada bekalan mencukupi hingga Jun dan Julai. Tetapi tiada jaminan untuk Julai, Ogos dan September. Pakar mengatakan pada Julai dan Ogos, kekurangan fizikal bekalan mungkin masih berlaku," kata penasihat kanan ekonomi kepada Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein dalam satu episod audio siar Keluar Sekejap.
Apabila lebih banyak wang dimasukkan ke dalam sistem yang mengalami kekurangan bekalan, masalah itu tidak akan selesai. Sebaliknya, harga akan meningkat. Kalangan ahli ekonomi telah memberi amaran bahawa rangsangan ekonomi, bantuan tunai secara menyeluruh dan pengeluaran KWSP bukanlah penyelesaian yang sesuai dalam situasi ini kerana ia hanya memburukkan inflasi. Sebaliknya, cara yang berkesan dalam krisis bekalan adalah mengurangkan permintaan sehingga bekalan kembali pulih. Berita baiknya, langkah ini berada sepenuhnya dalam kawalan kita.
Gelombang kedua
Nurhisham memberi amaran bahawa kesan kejutan Hormuz – atau apa yang sering dirujuk ahli ekonomi sebagai 'kesan peringkat kedua' – akan mula dirasai dengan lebih jelas pada Jun atau Julai, terutama jika usaha penjimatan tidak dipertingkatkan. "Kita tidak boleh membazir apa yang kita ada. Bukan hanya bahan api, tetapi banyak perkara lain. Bukan sekadar tenaga – air dan makanan juga isu penting," katanya.
Jika kesan peringkat pertama merujuk kepada kekurangan bahan api dan kenaikan kos tenaga secara langsung, kesan peringkat kedua pula menjejaskan Malaysia secara tidak langsung melalui rantaian bekalan dan industri yang bergantung pada petroleum. Ini termasuk pembungkus plastik nasi lemak, kapsul ubat paracetamol, gas memasak (LPG) yang digunakan kedai mamak untuk menyediakan roti canai, serta baja yang digunakan untuk menanam sayur-sayuran – semuanya bergantung pada rantaian bekalan yang kini terganggu. "Kira-kira 70% daripada sebuah kereta moden diperbuat daripada plastik," tulis Dr Helmy Haja Mydin dalam kolumnya yang diterbitkan oleh FMT. "Perkara yang sama berlaku kepada peranti perubatan, produk kebersihan, pembungkusan makanan dan barangan elektronik."
Bekalan global bagi produk berasaskan petroleum kini semakin terhad akibat konflik sama sehingga menyebabkan Selat Hormuz ditutup, dan Malaysia terpaksa bersaing dengan negara lain untuk mendapatkan setiap unit bekalan tersebut. Menurut Helmy, terdapat sumber alternatif dari AS, namun spesifikasinya berbeza daripada yang digunakan kilang tempatan, selain mengambil masa lebih lama untuk dihantar.
Jimat cermat
Pakar-pakar menegaskan bahawa usaha penjimatan perlu dipertingkatkan segera, dan usaha kerajaan perlu disokong oleh sektor swasta serta individu. "Kita mempunyai kira-kira dua bulan untuk menyesuaikan diri," kata ahli ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng. "Tidak seperti Covid-19, kesannya mungkin tidak berlaku secara mendadak, tetapi kita tetap perlu menyesuaikan gaya hidup bagi memanjangkan ketersediaan bekalan."
Langkah pertama yang paling praktikal adalah menjimatkan penggunaan petrol. Terdapat 14.8 juta pengguna BUDI95 di Malaysia, dengan majoritinya menggunakan sekitar 100 liter sebulan secara purata. Jika setiap rakyat Malaysia mengurangkan penggunaan sebanyak 20 liter sebulan, jumlah penjimatan boleh mencecah 296 juta liter. Dari segi nilai, ia bersamaan RM601 juta sebulan. Jumlah itu mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan bil subsidi yang dijangka mencecah RM58 bilion pada 2026. Namun isu ini bukan semata-mata soal penjimatan. Ia tentang membeli masa. Masa untuk rantaian bekalan pulih. Masa untuk kedudukan fiskal negara kekal kukuh. Masa untuk kerajaan mengekalkan harga RM1.99 seliter sehingga Ogos tanpa perlu membuat keputusan yang lebih sukar pada Jun.
Terdapat juga dimensi fizikal yang perlu difahami. Setiap liter yang tidak digunakan ialah satu liter yang Malaysia tidak perlu dapatkan daripada Rusia atau sumber lain pada harga lebih mahal dan melalui laluan yang lebih panjang. Pengurangan permintaan membantu mengurangkan tekanan dari pelbagai sudut secara serentak. Namun petroleum bukan sekadar bahan api untuk kenderaan, dan usaha penjimatan tidak terhenti di pam petrol. Setiap kali kita menggunakan lebih daripada yang diperlukan, sama ada membazir gas memasak, memesan makanan berbungkus secara berlebihan atau membeli lebih banyak daripada yang mampu digunakan, kita sebenarnya sedang mengurangkan bekalan yang sedia terhad. Tindakan menggunakan sumber ini secara lebih berhemah mungkin kelihatan tidak membantu, tetapi secara kolektif ia dapat memperlahankan kadar kesan gelombang kedua terhadap harga makanan, kos ubat-ubatan dan barangan keperluan harian.
Usaha bersama
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah, yang mewakili Majlis Tindakan Ekonomi Negara, memperincikan perkara itu dengan jelas. "Kita tidak dapat mengawal sepenuhnya harga petroleum global atau konflik geopolitik dunia. Tetapi kita boleh mengawal tahap kesiapsiagaan negara," katanya dalam kenyataan bertarikh 19 Mei, menambah bahawa kerajaan terus memberi tumpuan pada dasar yang adil dan berkesan. Sejak krisis bermula, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan kebenaran Iran untuk membolehkan kapal tangki Malaysia melalui Selat Hormuz, manakala Petronas pula mendapatkan bekalan minyak mentah alternatif bagi memastikan bekalan negara kekal mencukupi sehingga Jun.
Harga BUDI95 kekal pada RM1.99 walaupun bil subsidi bulanan terus meningkat. Bantuan diesel tambahan turut disalurkan kepada petani dan nelayan. Peruntukan kerajaan di pelbagai kementerian telah dikurangkan, manakala RM5 bilion diperuntukkan bagi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS. Kebanyakan rakyat Malaysia masih belum merasai sepenuhnya kesan daripada apa yang sedang berlaku pada peringkat global. Keadaan itu bukan kebetulan, sebaliknya hasil perlindungan aktif dan berterusan dengan kos tinggi yang dilaksanakan secara senyap selama tiga bulan kebelakangan ini. Namun kemampuan untuk menyerap tekanan itu ada hadnya, dan ia tidak akan berterusan dengan sendirinya. Ia hanya dapat diteruskan selagi ruang fiskal negara masih wujud untuk menampungnya, dan ruang itu sebahagiannya ditentukan oleh jumlah penggunaan 36 juta rakyat Malaysia setiap bulan.



