Rakyat Malaysia ditahan di Macau seludup heroin bernilai RM2.09 juta
Rakyat Malaysia ditahan di Macau seludup heroin RM2.09 juta

Seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Macau pada 20 Jun lalu kerana disyaki menyeludup hampir 3 kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta disahkan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Malaysia. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima maklumat rasmi daripada polis Macau berhubung penahanan lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Sarawak itu, semalam.

Rekod Jenayah Lampau Suspek

“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah narkotik melibatkan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan milikan dan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya ketika dihubungi. Menurut Hussein, dadah berkenaan disorokkan di dalam tin sardin berlabel pes tuna yang dibungkus bersama biskut sebelum ditemukan dalam bagasi suspek sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau.

Siasatan Sindiket Dadah

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta anggota sindiket lain di negara ini, di samping bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah negara jiran. Ini berikutan suspek dipercayai menggunakan laluan selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyeludup dadah. “Suspek bukan berlepas dari Malaysia tetapi dari negara jiran di utara dan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut Hussein, kerjasama siasatan antara JSJN dan polis Macau ketika ini tertumpu kepada pertukaran maklumat risikan serta usaha mengenal pasti dalang dan ahli sindiket lain yang terbabit. Beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara supaya sentiasa mengambil berat terhadap bagasi dibawa serta mengetahui sepenuhnya kandungan bagasi atau bungkusan bagi mengelakkan dieksploitasi sebagai keldai dadah.

Penahanan di Macau

Sebelum ini, polis Macau memaklumkan seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau pada 20 Jun selepas disyaki menyeludup 2.987 kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta. Pihak berkuasa turut menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi, dengan setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna. Namun pemeriksaan mendapati beberapa tin itu diisi serbuk putih yang kemudian disahkan sebagai heroin.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai direkrut sindiket pengedaran dadah di Malaysia dengan dijanjikan bayaran RM3,000 selepas tugasan selesai. Suspek juga diarahkan mengambil dadah berkenaan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludupnya ke Macau untuk dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga