KUALA LUMPUR, 27 Mei — Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus di Sungai Nilam, Sungai Selisek, Hulu Selangor, petang ini.
Pengarah Operasi Bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.40 petang dan satu pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu telah dihantar ke lokasi kejadian yang berjarak kira-kira 40 kilometer.
“Kerja-kerja mencari sedang dijalankan oleh anggota bomba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 2.35 petang dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah Jentera Pemadam Kebakaran (FRT), sebuah Hilux dan sebuah bot.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas.



