KUALA LUMPUR: Sebanyak 73 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Hazlina Yahaya.
Perincian kes dan kematian
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 59 kes melibatkan kelesuan haba, enam kes strok haba 'exertional', empat kes strok haba 'classical' serta masing-masing dua kes hiperpireksia (demam panas melampau) semasa berpantang dan kekejangan haba.
“Kumulatif kes kematian kekal empat kes, iaitu dua lelaki dewasa berusia 42 tahun di Pulau Pinang dan 22 tahun di Kedah serta dua kanak-kanak berusia dua tahun di Negeri Sembilan dan empat tahun di Perak,” katanya.
Kesiapsiagaan KKM
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kesiapsiagaan dan respons KKM dalam menghadapi cuaca panas dan gelombang haba pada sesi libat urus bersama media berhubung kesiapsiagaan kerajaan menghadapi monsun barat daya di Puchong.
Fasiliti kesihatan awam telah bersiap siaga dari segi sumber manusia, kemudahan rawatan dan bekalan perubatan bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan segera dan berkesan.
Langkah pencegahan
Selain itu, KKM mempergiat aktiviti pendidikan kesihatan, advokasi serta penyampaian maklumat kepada orang ramai, terutamanya golongan berisiko tinggi termasuk masyarakat Orang Asli.
“KKM turut menjalankan aktiviti advokasi tindakan menghapuskan tempat berisiko pembiakan nyamuk serta advokasi rawatan awal sekiranya mempunyai gejala,” katanya.
Beliau berkata pemantauan kes penyakit berkaitan haba direkodkan bagi mengenal pasti serta melindungi golongan berisiko tinggi.



