PETALING JAYA: Empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler yang terbalik di KM43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Karak, Bentong, petang tadi.
Butiran Kejadian
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat, setahun, lapor Sinar Harian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pemandu lori treler berusia 40 tahun cedera.
Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Bentong dikejarkan ke lokasi kemalangan.
Tindakan Menyelamat
“Anggota bersama jentera yang tiba di lokasi pada 5.15 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Honda City menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami mereka.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



