KUALA LUMPUR, 20 Mei — Malaysia dan Singapura sedang memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penjagaan kesihatan, termasuk penjajaran dasar pelabelan makanan, akses kepada teknologi perubatan dan pelancongan kesihatan rentas sempadan demi manfaat kedua-dua negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara tersebut telah dibincangkan semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Ong Ye Kung, di Geneva, Switzerland, semalam.
Beliau berkata kerjasama erat antara kedua-dua negara terus diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU), yang mencerminkan kepercayaan dan komitmen bersama yang kukuh terhadap kesejahteraan rakyat.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk mempertingkatkan kerjasama strategik yang membawa manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata kedua-dua negara turut membincangkan penjajaran dasar pelabelan makanan Nutri-Grade sebagai sebahagian daripada pendekatan proaktif serantau untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).
Malaysia juga mengalu-alukan pelaksanaan Program Kebergantungan Kawal Selia Peranti Perubatan, yang dijangka mempercepatkan akses kepada teknologi perubatan yang berkualiti tinggi dan inovatif di pasaran serantau.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut meneroka perluasan pelancongan kesihatan rentas sempadan, termasuk memudahkan rujukan pesakit dari Singapura ke kemudahan penjagaan kesihatan swasta di Johor dan memperluas perlindungan insurans Medisave.
“Ini akan membantu merangsang kesan limpahan ekonomi dan memperkukuh ketersambungan penjagaan kesihatan untuk komuniti di wilayah selatan.
“Dalam menghadapi cabaran kesihatan awam yang semakin kompleks, kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan lama tetapi juga menyokong usaha membina sistem penjagaan kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan berpusatkan rakyat,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata Malaysia tetap komited untuk mempromosikan diplomasi dan kerjasama berdasarkan rasa saling hormat dan kemakmuran bersama. — Bernama



