Tiada lagi titik buta telekomunikasi di lebuh raya PLUS Perak
Tiada lagi titik buta telekomunikasi di PLUS Perak

GOPENG, 8 Jun — Tiada lagi bahagian di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Perak yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi sepenuhnya atau titik buta, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

Beliau berkata demikian selepas menara telekomunikasi baharu di kawasan Gua Tempurung mula beroperasi sebulan lalu. Kawasan Gua Tempurung sebelum ini dikenal pasti sebagai salah satu lokasi utama yang mengalami gangguan liputan, terutamanya bagi pengguna yang melalui jalan berbukit dari utara dan selatan.

“Isu (gangguan liputan) kini telah diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PLUS Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan agensi berkaitan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kami telah meletakkan Gua Tempurung sebagai salah satu hotspot untuk sambungan titik buta di bawah Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak yang ditubuhkan pada 2023,” katanya kepada pemberita selepas meninjau menara telekomunikasi baharu di Gua Tempurung hari ini.

Mohd Azlan berkata selain Gua Tempurung, kerajaan negeri sebelum ini telah menangani isu liputan telekomunikasi di kawasan Terowong Menora.

“Saya percaya tidak ada lagi kawasan yang langsung tiada sambungan. Kini hanya kawasan yang mempunyai liputan lemah akibat faktor rupa bumi atau halangan tertentu, tetapi masih mempunyai sambungan telekomunikasi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan terus memantau kualiti liputan bagi memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan dan memenuhi keperluan pengguna lebuh raya yang semakin meningkat.

Beliau berkata usaha menambah baik liputan telekomunikasi akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang sering mengalami kesesakan semasa musim perayaan, serta di sepanjang Lebuh Raya Pantai Barat (WCE). — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga