KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa, tertekan oleh perkembangan luaran susulan laporan serangan AS dan Israel ke atas kapal Iran di Selat Hormuz yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.
Pada pukul 6 petang, ringgit susut kepada 3.9660/3.9705 berbanding dolar AS daripada 3.9510/3.9550 semalam.
Menurut laporan berita, serangan itu mengakibatkan beberapa korban dalam kalangan warga Iran.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid, memberitahu Bernama bahawa perkembangan sedemikian menunjukkan usaha rundingan damai akan menjadi sia-sia, meningkatkan risiko konflik ketenteraan berpanjangan di Timur Tengah.
Pada masa penulisan, minyak mentah Brent didagangkan lebih tinggi sebanyak 2.8 peratus kepada AS$98.83 setong.
“Ia seperti situasi ulang-alik dan membawa kepada ketidaktentuan pasaran yang lebih tinggi. Dalam pada itu, tekanan inflasi yang meningkat berikutan kejutan minyak berkemungkinan membentuk kadar inflasi global dan oleh itu, sentimen berhati-hati dalam kalangan pedagang akan mengehadkan kenaikan ringgit dalam jangka pendek,” kata Afzanizam.
Namun, beliau berkata ringgit kekal agak berdaya tahan setakat tahun ini, berada di antara mata wang kedua terbaik di rantau ini walaupun berlaku turun naik baru-baru ini.
Beliau juga berkata rupiah Indonesia dan rupee India kini berada di bawah tekanan yang lebih besar disebabkan kedudukan defisit berkembar mereka, menjadikan kedua-dua ekonomi lebih terdedah kepada kejutan harga minyak.
Pada penutup, ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 2.4917/2.4947 daripada 2.4860/2.4887 semalam, susut berbanding euro kepada 4.6172/4.6225 daripada 4.5998/4.6044, dan merosot berbanding pound British kepada 5.3470/5.3530 daripada 5.3311/5.3365 sebelumnya.
Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau kecuali baht Thailand, meningkat kepada 12.1485/12.1675 daripada 12.1640/12.1816 semalam. Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/3.1075 daripada 3.0932/3.0966, susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.43/6.44, dan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.8/223.2 daripada 222.6/223 semalam.
Pasaran akan ditutup esok sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.



