Puteri Thailand mangkat, kerajaan isytihar berkabung 15 hari
Puteri Thailand mangkat, kerajaan isytihar berkabung 15 hari

BANGKOK: Thailand mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama 15 hari susulan kemangkatan Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, dengan bendera dikibarkan separuh tiang di institusi kerajaan di seluruh negara bermula Jumaat.

Keputusan Kabinet

Jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet selepas para menteri dimaklumkan mengenai pemergian puteri berkenaan oleh Biro Istana Diraja. Katanya, Kabinet turut mengarahkan penjawat awam, kakitangan syarikat milik kerajaan dan pegawai kerajaan supaya mematuhi tempoh berkabung itu, selain menggalakkan orang ramai melakukan perkara sama.

Arahan Perdana Menteri

Langkah berkabung itu berkuat kuasa serta-merta, dengan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengarahkan semua agensi berkaitan memastikan istiadat pengebumian diraja dilaksanakan dengan penuh penghormatan serta mengikut tradisi diraja. “Perdana Menteri Anutin turut memberikan penghormatan kepada puteri berkenaan dan mengetuai menteri Kabinet bertafakur sejenak bagi mengenang sumbangannya kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Jawatankuasa Pengebumian

Ratchada berkata, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Anutin akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelia semua aspek urusan pengebumian termasuk pentadbiran istiadat, pembinaan krematorium diraja, komunikasi awam dan keselamatan. “Agensi kerajaan juga dikehendaki menugaskan pegawai untuk menghadiri dan memberi penghormatan sepanjang upacara bacaan doa pengebumian diraja dalam tempoh berkabung selama 100 hari,” katanya.

Peranan Kementerian

Beliau berkata, Kementerian Kebudayaan menerusi Jabatan Seni Halus akan menyelia protokol istiadat dan pembinaan krematorium diraja, manakala Kementerian Dalam Negeri serta Pentadbiran Metropolitan Bangkok akan menganjurkan aktiviti peringatan bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada puteri mendiang. Tambahnya, Jabatan Perhubungan Awam dipertanggungjawabkan mempromosikan tugas diraja dan sumbangan puteri berkenaan termasuk menerusi bahan berbahasa Inggeris yang diselaraskan dengan Kementerian Luar.

Kemangkatan Puteri

Terdahulu, Biro Istana Diraja mengumumkan bahawa Puteri Bajrakitiyabha, 47, anak sulung Raja Maha Vajiralongkorn, mangkat di Hospital Chulalongkorn pada 7.48 malam Khamis ketika menerima rawatan. Puteri Bajrakitiyabha menerima rawatan di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn sejak Disember 2022 selepas rebah akibat masalah berkaitan jantung ketika melatih anjing peliharaannya di daerah Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga