Malaysia pantau status tiga gajah di Jepun, hantar mahout giliran
Malaysia pantau status tiga gajah di Jepun

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang memantau rapi status dan kebajikan tiga ekor gajah Asia Malaysia yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, pada bulan Mac lalu.

Timbalan Menteri NRES, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pemindahan tiga gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat itu adalah sebahagian daripada program kerjasama konservasi ex-situ strategik selama 25 tahun antara Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) dengan Zoo Tennoji.

Penilaian rapi sebelum penghantaran

Beliau menjelaskan bahawa sebelum program itu dimuktamadkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menjalankan penilaian impak fizikal dan psikologi yang komprehensif untuk memastikan zoo Jepun itu mematuhi piawaian antarabangsa dalam pengurusan hidupan liar.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bagi memastikan kebajikan gajah-gajah ini kekal optimum sepanjang fasa penyesuaian mereka, tujuh orang mahout Perhilitan telah menemani haiwan tersebut secara bergilir selama dua bulan sejak Mac.

“Sebagai langkah pemantauan susulan, dua orang mahout tambahan telah dihantar ke zoo itu dari 1 Jun hingga 30 Jun bagi memastikan proses adaptasi jangka panjang berjalan lancar,” katanya pada sesi Dewan Rakyat di Dewan Khas.

Kerjasama berdasarkan fakta dan undang-undang

Beliau menjawab soalan daripada Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai rancangan dan tindakan kerajaan untuk memantau status dan kebajikan haiwan liar seperti gajah yang dihantar ke luar negara, serta rekod gajah yang pernah dieksport sebelum ini.

Menjawab soalan tambahan Young Syefura tentang desakan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memulangkan semula tiga gajah itu, Syed Ibrahim berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan kerjasama itu mematuhi fakta dan prinsip undang-undang sambil mengekalkan hubungan diplomatik dengan Jepun.

Beliau berkata sebarang keputusan atau tindakan selanjutnya akan tertakluk kepada rundingan rasmi di bawah perjanjian induk antara ZTNS dan Zoo Tennoji.

Cadangan pemerhati bebas

“Mengenai cadangan menghantar pemerhati bebas atau NGO ke Jepun, NRES bersedia memudahkan proses tersebut sekiranya terdapat persetujuan bersama antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji, berdasarkan kewajipan kontrak sedia ada,” katanya.

Mengulas tentang dakwaan kehilangan 19 ekor gajah yang pernah dihantar ke luar negara, Syed Ibrahim menjelaskan bahawa data itu adalah tidak rasmi, manakala rekod rasmi Perhilitan menunjukkan hanya 10 ekor gajah telah dieksport ke luar negara sejak 1977.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga