PUTRAJAYA, 10 Jun — Ketibaan pelancong asing di bawah kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) menunjukkan trajektori yang kukuh, dengan 17.5 juta pelancong direkodkan sehingga Mei, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Beliau berkata dalam usaha mencapai sasaran 47 juta pelawat, kementerian melalui Tourism Malaysia telah menganjurkan pelbagai program promosi di dalam dan luar negara untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Kami juga mempergiatkan promosi melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan seperti ejen pelancongan, Pemimpin Pendapat Utama (KOL) dan media untuk menarik pelawat ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Visit Malaysia 2026 di sini hari ini.
Ditanya mengenai cabaran yang ditimbulkan oleh gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan kos pengangkutan terhadap kempen VM2026, Chiew berkata beberapa inisiatif telah dibincangkan dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan untuk menangani isu tersebut.
“Kami bekerja keras di dalam negara dan juga di luar negara supaya kami dapat mengekalkan momentum dalam menarik pelancong ke negara kita,” katanya.
Lebih awal dalam ucapannya, Chiew menekankan keperluan untuk terus mempromosikan destinasi dan pengalaman unik di Malaysia.
“Jika sektor ini berjaya dan ketibaan pelancong meningkat, ia akan memberi kesan yang signifikan kepada ekonomi negara, terutamanya kepada peniaga, pengusaha hotel, penjaja, restoran, pengendali pengangkutan, serta kedai runcit dan pusat membeli-belah. Semua lapisan masyarakat akan mendapat manfaat,” katanya.
Sementara itu, Chiew hari ini melancarkan siri nombor pendaftaran khas “V 1 MY” hingga “V 9999 MY” sempena VM2026.
Beliau berkata penjualan siri nombor pendaftaran itu adalah inisiatif bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjana dana tambahan bagi kempen tersebut.
“Siri NPI khas ini berpotensi menarik mereka yang menghargai nombor pendaftaran premium dan menggalakkan rakyat Malaysia menyokong industri pelancongan negara melalui pembelian nombor-nombor ini,” katanya.
JPJ akan membuka bidaan untuk siri nombor pendaftaran khas itu dari 13 hingga 17 Jun. — Bernama



