Pencinta bunga dan peminat alam semula jadi berpeluang menikmati pameran orkid antarabangsa apabila BUNGA 2026 berlangsung di Resorts World Awana, Genting Highlands, bulan depan. Festival lima hari itu akan diadakan dari 3 hingga 7 Jun 2026 di Awana Village dan T2 Exhibition Hall, dengan mengetengahkan keindahan orkid, seni florikultur serta pengalaman botani dalam suasana nyaman tanah tinggi.
Pameran Bunga Tertinggi di Malaysia
Dianjurkan sebagai pameran bunga tertinggi di Malaysia, BUNGA 2026 menghimpunkan persatuan orkid, penanam, pakar hibrid dan pengumpul dari beberapa negara Asia. Antara negara mengambil bahagian ialah Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Brunei, menjadikan festival itu platform pertemuan penggiat orkid serantau. Pengunjung boleh menyaksikan pameran dan pertandingan orkid antarabangsa yang menampilkan spesies eksklusif, koleksi hibrid istimewa, susunan floral imersif serta landskap kreatif berinspirasikan alam semula jadi.
Pembuka Tirai ke APOC 2028
Resorts World Awana berkata penganjuran BUNGA 2026 juga menjadi pembuka tirai kepada siri festival bunga menuju Asia Pacific Orchid Conference, atau APOC 2028, yang akan berlangsung di lokasi sama dari 17 hingga 26 Mac 2028. Menurutnya, penganjuran APOC 2028 itu bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kali persidangan berprestij berkenaan dianjurkan oleh sebuah syarikat korporat swasta.
Peserta Antarabangsa
Antara peserta antarabangsa yang akan menyertai BUNGA 2026 termasuk Taipei Orchid Society dari Taiwan, Chulee Orchid dan Damrong Star Orchid Society dari Thailand, selain pengumpul orkid Vietnam, Nguyen Anh Tuan. Festival itu turut disertai Indonesia Orchid Community, Orchid Society of Selangor & Federal Territory, Federation of Malaya Orchid Society, Jasmina Florist & Landscaping Co dari Brunei, serta The Orchid Society of South East Asia dari Singapura.
Aktiviti dan Pengalaman
Selain pameran utama, pengunjung juga boleh meneroka ruang niaga botani yang menawarkan pelbagai orkid rare, produk floral, dekorasi berasaskan tumbuhan, inspirasi berkebun dan hasil kreatif bertemakan flora. Bagi mereka yang mahu pengalaman lebih dekat dengan alam, beberapa aktiviti khas turut disediakan termasuk Bloom Beyond BUNGA di Eufloria Gardens & Sculpture Park, serta Forest for the Future: Orchid Stories oleh Genting Nature Adventures. Peminat aktiviti luar pula boleh menyertai Wild Orchid Explorer, iaitu pengalaman menyusuri hutan tanah tinggi untuk melihat orkid liar dalam habitat semula jadi, manakala Orchadia menawarkan pengalaman gaya hidup botani premium termasuk hi-tea, bengkel, masterclass orkid dan lelongan orkid rare.
Tiket dan Pakej
Tiket masuk ke BUNGA 2026 dijual pada harga RM30, manakala pakej gabungan BUNGA 2026 dan Eufloria berharga RM60. Warga emas menikmati kadar khas RM20 bagi pembelian walk-in, dengan semua tiket termasuk kredit makanan RM10. Pengunjung yang mahu bermalam juga boleh memilih pakej Bunga Bloomscape Staycation di hotel terpilih sekitar resort, termasuk Resorts World Awana, First World Hotel, Genting SkyWorlds Hotel dan Highlands Hotel, dengan kadar bermula RM81 semalam serta dua tiket masuk ke festival bagi setiap pakej.



