Polis Melaka membongkar sindiket pusat panggilan yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud dengan penahanan 12 individu dalam dua serbuan di Taman Krubong Perdana, awal pagi Rabu.
Butiran tangkapan
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki warga China, selain seorang lelaki dan seorang wanita tempatan, berusia antara 23 hingga 47 tahun.
“Serbuan pertama pada jam 2.30 pagi, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan, berusia antara 23 hingga 43 tahun.
“Serbuan kedua pada jam 3 pagi membawa kepada penahanan lima lelaki warga China dan seorang wanita tempatan, berusia antara 27 hingga 47 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.
Modus operandi
Halim berkata, hasil semakan pakar analisis media sosial mendapati kedua-dua sindiket terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud dan disyaki menyasarkan warga China melalui platform digital.
Siasatan mendapati kedua-dua sindiket mula beroperasi sejak awal Jun dan menggunakan aplikasi MiChat untuk berkomunikasi dengan mangsa.
“Semua suspek bertindak sebagai wakil perkhidmatan pelanggan yang menghubungi pelanggan sasaran dan memberikan penerangan tentang pelaburan dalam talian yang boleh diakses melalui pautan yang diberikan.
“Mangsa yang berminat akan memilih pelaburan yang ditawarkan dan membuat bayaran yang diuruskan oleh ahli sindiket lain yang masih bebas,” katanya.
Rampasan dan siasatan
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 12 set monitor, tetikus dan papan kekunci, 12 unit CPU, 12 telefon bimbit, serta dua set modem dan router bernilai kira-kira RM40,000 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Semua suspek direman dari 10 Jun hingga 23 Jun.
Nasihat kepada orang ramai
Halim menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi pindahan wang dan menyemak dengan bank atau polis jika merasa ragu-ragu tentang urusan kewangan.
“Orang ramai juga dinasihatkan menyemak nombor telefon dan nombor akaun melalui laman web Semak Mule sebelum membuat transaksi, dan segera menghubungi bank atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 jika menjadi mangsa penipuan siber,” tambahnya.



